KELUARGA Muhammad Adib Mohd Kassim mendapat kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara Tommy Thomas kerana membuat rumusan awal mengenai punca kematian anggota bomba itu, lapor media.
Koroner Rofiah Mohamad memberikan kebenaran itu atas permohonan sebelah pihak yang difailkan oleh ayah Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lalu.
“Sama ada ia campur tangan atau meletakkan mahkamah dalam situasi menghina, ia berada di bawah kesalahan menghina mahkamah.
“Jadi ia adalah adil bagi peguam negara menjelaskan dirinya,” kata Rofiah, seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.
Rofiah kemudian menetapkan 23 September untuk sebutan semula, empat hari sebelum beliau dijadual mengumumkan keputusan inkues menentukan kematian Adib.
Keluarga Adib diwakili peguam Haniff Khatri Abdulla manakala peguam negara diwakili peguam kanan persekutuan S Narkunavathy.
Tommy didakwa menghina mahkamah melalui satu afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara sebagai membantah permohonan pihak kuil Hindu di Subang Jaya untuk dimasukkan sebagai pihak dalam inkues menentukan kematian Adib.
Dalam afidavit berkenaan, Tommy mendakwa kematian Adib bukan kerana dipukul.
“Afidavit yang dikemukakan oleh bekas Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada 3 April lalu menjadi rentetan hingga wujudnya gesaan agar inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” kata Rofiah, dipetik Sinar Harian.
Katanya, afidavit itu menimbulkan persepsi terhadap inkues yang beliau jalankan atas arahan peguam negara sendiri untuk merungkai punca kematian Adib.
“Ia meletakkan seolah-olah inkues ini sebagai satu wayang dan integriti serta ketelusan dipertikaikan,” katanya.
Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuan untuk daripada permohonan untuk jadi pemerhati dalam inkues susulan alasan yang dinyatakan oleh peguam negara dalam afidavit tersebut.
Bapa Adib turut mendakwa Tommy secara salah telah campur tangan dalam pelaksanaan keadilan sehingga menyebabkan prosiding tertangguh dan melengahkan keadilan.
Tommy didakwa mengganggu perjalanan inkues apabila dikatakan cuba menghalang peguam Syazlin Mansor daripada menjalankan tugasnya mewakili keluarga Adib serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia.
Syazlin pada 27 Mei lalu menarik diri daripada kes, yang kemudiannya diketahui dibuat atas nasihat Pejabat Peguam Negara.
Sehari kemudian, Tommy menjelaskan empat alasan kenapa Syazlin tidak sepatutnya jadi peguam untuk kementerian dan pihak bomba.
Adib, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.
Kematiannya dibangkitkan dalam ceramah politik dan perhimpunan Melayu sejak beberapa bulan lalu dan dijadikan hujah untuk menyatukan sokongan Melayu untuk menentang kerajaan. – 27 Ogos, 2019.
Komen