PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan larangan berlabuh global terhadap empat kapal yang didapati melanggar sekatan terhadap Korea Utara, kata ketua panel pakar pada Isnin dalam apa yang digambarkan sebagai langkah yang belum pernah terjadi sebelumnya.
“Terdapat empat kapal yang disenaraikan oleh jawatankuasa itu. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pembekuan aset atau halangan perjalanan. Ia adalah halang berlabuh,” kata Hugh Griffiths, koordinator panel PBB mengenai sekatan Korea Utara.
Menurutnya, kapal-kapal itu didapati “mengangkut barangan larangan.”
“Ia tindakan yang pantas dan tegas oleh jawatankuasa itu,” katanya dan menambah larangan itu berkuat kuasa pada 5 Oktober.
Griffiths bercakap pada akhir mesyuarat terbuka PBB terbuka dengan semua negara anggota.
Sumber berkata empat kapal itu ditemui membawa arang batu, makanan laut dan bijih besi, eksport diharamkan oleh resolusi PBB yang dibawa oleh Amerika Syarikat pada Ogos.
Diplomat Korea Utara hadir di mesyuarat itu tetapi tidak bercakap, menurut diplomat.
Menurut sumber, kapal tersenarai ialah Petrel 8, Hao Fan 6, Tong San 2 dan Jie Shun.
Menurut laman sesawang MarineTraffic, tiga yang pertama mempunyai bendera Comoros, Saint Kitts dan Nevis, dan Korea Utara. Kapal Jie Shun tidak tersenarai di laman sesawang ini. – AFP, 10 Oktober, 2017.
Komen