Kebakaran baharu dikesan di hutan Amazon


Seramai 70 anggota bomba dan tentera dikerahkan untuk memadam kebakaran di Amazon, kata pihak berkuasa Rondonia. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2019.

RATUSAN kebakaran baharu dikesan marak di Amazon di Brazil, menurut data semalam, walaupun pesawat tentera menghumban air di kawasan terjejas teruk itu dan negara-negara G7 berjanji untuk membantu memadam kebakaran.

Asap tebal di bandar Porto Velho menyebabkan lapangan terbang ditutup selama dua jam kerana api marak di Rondonia di mana usaha memadamkan kebakaran ditumpukan, ketika ketegangan diplomatik antara Perancis dan Brazil semakin membara.

“Kita semua penghidu asap pasif,” kata pengarah hospital kanak-kanak di bandar itu, Sergio Pereira di mana semakin ramai orang datang mendapatkan rawatan kerana kesukaran bernafas.

“Asap itu boleh jadi sangat agresif dan kanak-kanak serta warga tua paling teruk terjejas.”

Dua pesawat Hercules C-130 membawa ribuan liter air pada Ahad mula melepaskan air di kawasan hutan hujan tropika terbesar dunia itu, yang dilihat terjejas teruk akibat perubahan iklim.

Seramai 70 anggota – bomba dan tentera – dikerahkan untuk memadam kebakaran itu, kata pihak berkuasa Rondonia.

Pakar berkata aktiviti pembersihan hutan yang semakin banyak pada musim kemarau untuk penanaman menambah lagi kepada masalah kebakaran itu.

Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengarahkan siasatan dibuat terhadap laporan ada penduduk luar bandar di utara bandar Para mengadakan “hari api” pada 10 Ogos sebagai tanda sokongan kepada usaha pemimpin berhaluan kanan untuk melemahkan pemantauan perlindungan alam sekitar. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen