Rakyat Australia ditahan di China kerana ‘merisik’


Menteri Luar Australia Marise Payne berkata seorang warganya yang ditahan sejak Januari lalu di China masih tidak diberikan akses kepada peguam dan ahli keluarga. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2019.

SEORANG ahli akademik warga Australia ditahan di China kerana disyaki menjadi perisik, kata Menteri Luar Marise Payne hari ini, dalam satu perkembangan yang menambah ketegangan antara dua negara itu.

Yang Hengjun ditahan di Beijing selama beberapa bulan tanpa didakwa, tetapi Payne berkata pengarang yang juga sarjana itu secara rasmi ditahan pada 23 Ogos.

Yang, seorang aktivis pro demokrasi yang lantang bersuara, ditahan pada Januari tidak lama selepas kembali ke China dari Amerika Syarikat.

“Jika Dr Yang ditahan kerana kepercayaan politiknya, dia patut dibebaskan,” kata Payne, meluahkan kebimbangan tentang syarat keras.

“Kami menjangkakan standard asas keadilan dan prosedur yang adil dilaksanakan.”

Tindakan China berdiam tentang nasib Yang dan keengganannya memberikan akses kepada ahli akademik itu menjadikan hubungan antara dua negara semakin merosot sejak beberapa bulan terakhir.

Australia bimbang tentang pengaruh Beijing terhadap politik domestik dan pengaruh tenteranya yang semakin berkembang di Pasifik.

Semalam, soal siasat dimulakan berkenaan syarikat pemaju hartanah China menghantar A$100,000 tunai ke ibu pejabat Parti Buruh, parti pembangkang sebelum pilihan raya 2015.

“Dr Yang ditahan di Beijing dalam keadaan yang keras tanpa dituduh selama lebih tujuh bulan,” kata Payne.

“Sejak ditahan, China tidak memberi penjelasan sebab penahanan Dr Yang, dan tidak membenarkan akses kepada peguamnya atau lawatan keluarga.”

Payne berkata beliau sudah lima kali membangkitkan kes itu kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi secara berdepan dan menerusi surat. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen