KFC perkenalkan ayam tanpa daging di Georgia


KFC di Georgia, AS memperkenalkan ayam goreng tanpa daging di outletnya bermula hari ini, yang dihasilkan daripada bahan bukan daging. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2019.

RANGKAIAN restoran makanan segera terkenal, KFC, akan memperkenalkan hidangan ayam goreng berasaskan tumbuh-tumbuhan untuk sehari di sebuah restorannya di Georgia, kata syarikat itu semalam.

Sampel percuma produk baharu yang dibangunkan dengan kerjasama Beyond Meat dan digelar “Beyond Fried Chicken” boleh didapati di KFC di Smyrna, Georgia mulai hari ini, dan pelanggan juga boleh membeli nuget dan kepak tanpa tulang dihasilkan daripada bahan bukan daging.

“Saya rasa kita semua sudah mendengar ‘ia rasa seperti ayam’, jadi pelanggan akan kagum dan berkata, ‘ia rasa seperti KFC!’,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Konsep bagi KFC AS, Kevin Hochman.

Langkah memperkenalkan daging berasaskan tumbuhan itu menyusul usaha Burger King awal tahun ini yang memperkenalkan Impossible Whopper, hamburger daging versi tanpa daging yang dibangunkan bersama-sama Impossible Foods.

Ia antara beberapa usaha syarikat makanan yang berkembang pesat dalam menyediakan hidangan untuk pelanggan yang tidak makan daging.

Beyond Meat dalam satu kenyataan berkata tindak balas ujian itu di Georgia akan membantu KFC mempertimbangkan untuk memperkenalkan hidangan ayam bebas daging ke seluruh negara. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen