PIHAK pendakwa raya dijangka melengkapkan kesnya dalam perbicaraan SRC International hari ini dengan saksi terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.
Peguam berkata ia memerlukan sejam setengah lagi untuk menyoal balas Rosli sebelum pendakwa melakukan soal semula.
Pendakwa akan menyoal semula saksi bagi menjelaskan kenyataan yang tidak konsisten selain membangkitkan kecacatan dalam hujah peguam.
Selepas Rosli habis memberi keterangan, pendakwa akan menggulung kesnya, selepas hampir lima bulan perbicaraan sejak 3 April. Kira-kira sebulan dari sekarang, kedua-dua pihak dijangka membentangkan hujahan mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian akan memutuskan sama ada wujud kes prima facie terhadap Najib Razak.
Jika ada, Najib akan diperintahkan membela diri, di mana perbicaraan akan masuk fasa kedua dengan peguam memanggil saksinya memberi keterangan.
Perbicaraan itu dijangka berlangsung awal tahun depan.
Selepas pihak pembela selesai, hujahan akhir akan diarahkan, di mana selepas itu hakim akan membacakan penghakimannya dan menyampaikan keputusan.
Jumaat lalu, Rosli memberitahu mahkamah bahawa perbelanjaan RM3.3 juta menggunakan kad kredit Najib bertarikh 8 Ogos, 2014 di kedai emas De Grisogono di Itali, adalah untuk isteri bekas perdana menteri Qatar.
Beliau berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh Najib ketika soal siasat pada 2015. Rosli juga ditunjukkan surat penghargaan daripada Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie, isteri kepada Shaikh Hamad Jassim Jabr Al Thani, yang pada ketika itu perdana menteri Qatar.
Surat itu bertarikh 15 Ogos, 2014 dihantar kepada isteri Najib, Rosmah Mansor, di mana Rosli berkata surat itu tidak diberitahu kepadanya.
Pendakwa membantah surat itu dimasukkan sebagai bukti dan mencabar kebenarannya, berkata peguam patut panggil Noor Abdulaziz memberi keterangan.
Rosli juga mempertahankan kebebasan SPRM ketika disoal tentang mengapa bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin disoal siasat tujuh kali, kebanyakannya tahun lalu.
Rosli berkata ia hak pasukan penyiasat untuk soal siasat Suboh berulang kali bagi mendapatkan gambaran lebih jelas kerana keterangan saksi tidak konsisten.
“Saya boleh gunakan keterangan pertamanya jika saya mahu,” kata Rosli.
Suboh kali pertama disoal siasat oleh SPRM pada 7 November, 2015 di Abu Dhabi tetapi disoal sekali lagi di Jakarta kerana keterangan bercanggah.
SPRM turut menyoal siasat Low Taek Jho di hotel sama pada 27 November, 2015, dan beliau berjanji kembali ke Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam perbicaraan ini.
Pertuduhan terhadap Najib berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa atas tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
Pasukan peguam Najib diketuai oleh peguam Umno terkemuka Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

1.17pm: Mahkamah ditangguhkan sehingga 22 Oktober.
12.53pm: Tarikh seterusnya untuk penghujahan lisan adalah 22 Oktober, jam 9 pagi.
12.33pm: Nazlan memperuntukkan empat minggu untuk penghujahan bertulis dan tiga minggu lagi untuk membalas setiap penghujahan.
Pendengaran penghujahan lisan akan diadakan pada 22 Oktober.
Keputusan Nazlan akan diadakan pada 11 November.
12.22pm: Thomas menetapkan jadual bagi keputusan Nazlan.
12.15pm: Saksi dibenarkan keluar dari kandang saksi.
Thomas memberitahu Nazlan bahawa kes pendakwaan selesai manakala pasukan peguambela mengatakan 66 saksi pihaknya dipanggil.
Thomas mengatakan beliau secara formal menutup kes pendakwaan.
Shafee bertanya sama ada saksi dinyatakan bersedia.
Sithambaram berkata pendakwaan akan memastikan kesemua saksi bersedia dengan sebaik mungkin.
11.10am: Soal balas saksi bermula.
Rosli mengatakan sepanjang siasatannya tidak pernah mendapat kesaksian mengenai tandatangan palsu. Ia tidak pernah dibangkitkan dan ia punca mengapa beliau tidak menyiasat isu ini.
10.28am: Mahkamah berhenti rehat sebentar sebelum soal balas saksi dimulakan.
10.25am: Shafee mencadangkan bahawa dalam kenyataan SPRM ada masanya Rosli berbohong atau mengatakan sesuatu yang tidak benar.
Rosli berkata beliau tidak pernah melakukannya, sambil menambah beliau jujur dalam kertas siasatannya.
10.22am: Shafee bertanya sama ada cek Najib ditendang, adakah beliau tidak menyemak akaunnya atau bertanya mengapa ia ditendang.
Rosli berkata “ya, jika beliau mahu bertanya. Terserah kepadanya “.
10.20am: Shafee mencadangkan bahawa Low berusaha untuk memastikan akaun kad kredit dan penyata akaun tidak pernah sampai kepada Najib.
Rosli berkata beliau tidak pasti.
Shafee kemudian bertanya sama ada Najib mungkin memberitahu Low untuk mengarahkan bank mengenai perkara ini, mencadangkan tidak masuk akal untuk perdana menteri melakukannya.
Rosli tidak bersetuju.
10.18am: Shafee mula bertanya kepadanya tentang Jho Low.
10.11am: Shafee berkata terdapat kertas dakwaan untuk Nik Faisal dan (bekas pengarah SRC International) Suboh Md Yassin kerana melakukan CBT dengan dana SRC International.
Rosli bersetuju.
Shafee juga memaklumkan kepadanya Shamsul Anwar dan Abdul Aziz juga disyorkan untuk didakwa dengan pengubahan wang haram.
Rosli menjawab beliau dia tidak ingat perkara ini.
Rosli berkata semua mereka ini belum didakwa. Shafee memaklumkan kepadanya pasport mereka masih disenarai hitam.
Rosli bersetuju.
10.08am: Shafee mencadangkan ketiga-tiga mereka juga dikenakan tindakan pengubahan wang haram berhubung lebih RM150 juta. Rosli berkata beliau tidak ingat.
10.07am: Shafee bertanya lagi jika mereka dicadangkan untuk dikenakan dakwaan.
Rosli berkata “ya”.
10.05am: Shafee dibenarkan mencadangkan kepada Rosli yang SPRM mencadangakan (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) Nik Faisal Ariff Kamil, Shamsul Anwar Sulaiman dan (bekas pengerusi KWAP) Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah juga dikenakan dakwaan.
Sithambaram membantah lagi.
10.04am: Shafee bertanya Rosli jika SPRM mengesyorkan kepada peguam negara beberapa saksi pendakwaan dalam kes ini dikenakan pertuduhan pada 2015.
V. Sithambaram membantah soalan itu, mengatakan peguambela tidak boleh membincangkan kandungan kertas siasatan kerana ia berada di bawah Akta Rahsia Rasmi.
9.57am: Shafee memaklumkan kepada Rosli kertas siasatannya tidak tepat kerana peguam di SPRM menelitinya dan mengubahnya. Rosli menafikan hal ini.
Rosli berkata kertas siasatan itu diserahkan dan diluluskan oleh pengarah SPRM Bahari pada 31 Disember 2015.
Rosli kemudian menyerahkan kertas siasatan kepada bekas peguam negara, Apandi Ali pada 26 Januari 2016.
Shafee: Sebelum kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara, tiada seorang pun DPP yang melihatnya?
Rosli: Tidak.
Shafee: Pasti?
Rosli: Setakat yang saya ingat.
Shafee: Saya katakan kepada anda, apa yang anda ingat itu salah.
Rosli: Sejauh mana SPRM terlibat, saya betul. Saya menyerahkan kertas siasatan terus kepada Apandi.
9.28am: Shafee bertanya Rosli sama ada mereka sedar yang bekas duta besar Arab Saudi Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf bertugas sebagai jurubahasa semasa pertemuan antara Najib dan Raja Abdullah. Rosli berkata “tidak”.
Rosli berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada bekas menteri luar negeri Anifah Aman hadir sama.
9.25am: Shafee memulakan soal balas dengan Rosli, bertanya sama ada beliau pernah menemubual bekas menteri yang menghadiri empat mesyuarat Kabinet berkaitan pinjaman kerajaan kepada SRC International.
Rosli berkata beliau pernah menyoal bekas menteri kewangan Ahmad Husni Hanadzlah, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop dan timbalan perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin.
9.18am: Mahkamah dimulakan dengan saksi pendakwaan yang terakhir Rosli mengambil tempat di kandang saksi. – 27 Ogos, 2019.
Komen