Johnson&Johnson diperintah bayar AS$572 juta punca ketagih dadah


Syarikat farmaseutikal Johnson&Johnson diperintah bayar AS$572 kerana peranannya dalam krisis penagihan dadah jenis opioid di Oklahoma. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2019.

MAHKAMAH di Oklahoma semalam memerintahkan syarikat penjagaan kesihatan gergasi Amerika Syarikat (AS) Johnson&Johnson (J&J) membayar ganti rugi AS$572 kerana peranannya dalam krisis penagihan dadah jenis opioid di negeri itu.

Dalam perbicaraan tuntutan sivil pertamanya berhubung dakwaan menyebabkan epidemik dengan ratusan ribu kematian akibat pengambilan dadah berlebihan, Hakim Thad Balkman berkata pendakwa raya berjaya menunjukkan J&J menyumbang kepada “gangguan awam” dalam promosinya bagi ubat tahan sakit.

“Tindakan itu menjejaskan kesihatan dan keselamatan ribuan rakyat Oklahoma,” katanya.

Menurut keputusan hakim, syarikat itu dan bahagian farmaseutikal Jansenn akan membiayai “pelan pengurangan” bagi penjagaan untuk penagih, keluarganya dan masyarakat yang terkesan akibat krisis itu.

“Pemasaran dan promosi defendan Janssen dan Johnson&Johnson yang mengelirukan tentang opioid mencetuskan gangguan,” kata hakim.

J&J ialah syarikat farmaseutikal pertama dibicarakan berhubung krisis opioid di AS, yang menyebabkan lebih 70,000 kematian akibat pengambilan dadah berlebihan pada 2017.

Masih ada kira-kira 2,000 tuntutan saman masih tertangguh terhadap banyak lagi syarikat pembuat ubat dan pengedar difailkan. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen