Air tercemar di AS, 18,000 paip diganti


Awal bulan ini 280,000 penduduk Newark dimaklumkan supaya minum air botol susulan paras plumbum yang tinggi dikesan dalam saluran paip air. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelan bernilai AS$120 juta untuk menggantikan paip lama yang dikatakan punca kepada paras plumbum tinggi di bandar utama, ketika berdepan dengan krisis air semalam.

Ribuan penduduk di kawasan didiami majoriti masyarakat berkulit hitam dan Hispanik di bandar Newark, New Jersey minum air botol bulan ini susulan agensi alam sekitar menemui paras plumbum yang tidak selamat.

Krisis itu membangkitkan masalah infrastruktur di pusat bandar dan dibandingkan dengan krisis air di bekas bandar industri Flint, Michigan yang menjadi simbol ketidakadilan sosial di AS.

Datuk Bandar Ras Baraka pada sidang media berkata bandar itu mendapat pinjaman untuk menggantikan kira-kira 18,000 paip dalam tempoh 24 hingga 30 bulan.

“Kami menjangkakan tidak ada sesiapa akan dikenakan bayaran untuk menggantikan paip mereka,” katanya.

Penduduk Newark seramai 280,000 dimaklumkan awal bulan ini supaya minum air botol selepas Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) mendapati penapis tidak menapis plumbum dengan sempurna.

Ahli politik tempatan bergelut untuk menyelesaikan krisis itu dengan cepat – amaran pertama berlaku pada 2017 – dan menggesa Presiden Donald Trump untuk campur tangan.

Newark terkenal dengan lapangan terbang antarabangsanya dan kadar jenayah yang tinggi, mengagihkan hampir 40,000 penapis air kepada penduduk, baru-baru ini.

Ujian yang dijalankan di tiga rumah baru-baru ini mendapati dua daripadanya mempunyai kadar plumbum melebihi paras dibenarkan oleh EPA.

Pihak berkuasa kesihatan menawarkan ujian penapis percuma kepada penduduk yang bimbang air mereka mungkin tercemar.

Bekalan air minum di Flint tercemar tiga tahun lalu apabila pihak berkuasa menukar sumber air yang tidak dirawat dengan sempurna, dalam usaha berjimat cermat.

Pihak berkuasa pada mulanya menafikan pencemaran itu, menyebabkan ribuan kanak-kanak terkena keracunan dan menyebabkan 12 maut akibat wabak Legionnaire. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen