PENGANJUR konsert S.P Balasubrahmanyam merasakan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menjual tiket terlebih dahulu sebelum mendapatkan kelulusan untuk mengadakan persembahan, dan berkata garis panduan tidak menyatakan mereka tidak boleh menjual tiket sebelum mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada Raaghav Productions selaku penganjur untuk mengadakan konsert tersebut pada pukul 7 malam hingga 11 malam pada 31 Ogos.
Puspal mendakwa Raaghav Production memohon permit pada 31 Julai namun memulakan promosi dan penjualan tiket pada Mac.
Pengarah Urusan Raaghav Production, J. Dinesh Kumar bagaimanapun berkata, mereka melakukan perkara sama pada tahun lepas dan tiada sebarang masalah yang timbul.
“Dalam garis panduan tidak dinyatakan kami perlukan permit sebelum memulakan promosi dan penjualan tiket. Apabila kami lakukannya tahun lalu, ini bukan satu masalah,” katanya.
“Puspal boleh berkata demikian, tetapi mereka tidak letakkan dalam garis panduan untuk tidak menjual tiket sehingga permit diperolehi,” kata Dinesh kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Permohonan berikutnya oleh Raaghav production ditolak atas nasihat Jakim. Penganjur juga diminta meminda tarikh konsert tersebut kepada tarikh lain yang lebih sesuai kerana tarikh 1 Muharram bermula pada terbenamnya matahari pada 31 Ogos 2019 sehingga terbenamnya 1 September 2019.
Dinesh berkata, ketika beliau memohon permit, beliau yakin dengan garis panduan oleh Puspal yan menyatakan hanya konsert terbuka tidak dibenarkan dan bukan konsert tertutup.
Konsert Balasubramaniam akan diadakan di Plenary Hall, KLCC yang dinyatakan Dinesh, ia merupakan acara tertutup.
“Kami buat permohonan dan garis panduan menyatakan acara tertutup tidak akan terjejas. Kini mereka katakan kita buat kosert terbuka, kami berhujah bahawa a adalah konsert tertutup dalam lokasi tertutup,” katanya pada sidang media hari ini.
Dinesh bagaimanapun berkata, mereka telah mengubah masa yang akan bermula pada pukul 3 petang, 31 Ogos.
“Ini tidak beri banyak kesan kepada kami kerana hanya oerubahan masa, ia bukan perubahan drastik dan orang ramai masih boleh datang,” katanya.
Menurutnya, pihaknya memahami isu sensitiviti tetapi mereka tidak boleh mengubah tarikh kerana artis berkenaan tidak ada selain tarikh itu.
Penjadualan semula konsert ini menjadi isu susulan laporan dua konsert artis antarabangsa dijadualkan pada Sabtu dibawa ke waktu petang, bagi menghormati sambutan Awal Muharram.
Konsert yang lain adalah oleh penyanyi terkenal Taiwan, Bobby Chen di Stadium Melawati, Shah Alam yang dijadualkan pada 7.30 petang diawalkan kepada jam 12 tengahari.
Penganjur Soul9s Production pula berkata keputusan mengawalkan konsert Booby Chen adalah untuk memberi ruang majlis sambutan Maal Hijrah.
Syarikat itu berkata pembeli yang mahu mendapatkan bayaran semula tiket mereka boleh berbuat demikian sebelum 29 Ogos. Syarikat itu juga memohon maaf atas perubahan waktu itu.
Harga tiket konsert Bobby Chen bermula daripada RM188 hingga RM588.
Dokumen Puspal yang tidak membenarkan konsert diadakan pada waktu dicadangkan penganjur dilihat The Malaysian Insight.
“Maal Hijrah adalah hari kebesaran dalam kalendar Islam, dan jika konsert itu dijalankan pada tarikh dan waktu itu, ia boleh menyebabkan kebimbangan dan sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya Islam,” tulis dokumen itu.
“Dengan ini, Puspal tidak menyokong persembahan artis luar itu pada 30 Ogos sehingga 1 September 2019.”
Menurut garis panduan rasmi Puspal, agensi itu mempunyai hak menarik balik kelulusan sekiranya persembahan FA (artis luar) atau filem menyentuh isu agama, kaum dan budaya masyarakat Malaysia dan menjejaskan kepentingan negara.
Garis panduan Puspal itu juga melarang konsert terbuka ketika bulan Ramadan dan cuti umum agama. – 26 Ogos, 2019.
Komen