PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan kakitangannya menyediakan pelan untuk membina kejiranan baharu di Tebing Barat yang diduduki rejim Israel, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Isnin, kejiranan baharu itu dirancang dibina di Dolev, mempunyai kira-kira 300 unit kediaman.
Netanyahu berkata langkah itu adalah tindak balas terhadap serangan bom yang dilancarkan Palestin pada Jumaat, didakwa meragut nyawa seorang gadis Israel berusia 17 tahun selain mencederakan bapa dan saudara lelakinya.
“Kami akan menguatkan kedudukan dan menyerang musuh, kita akan terus mengukuhkan dan membangunkan penempatan,” katanya.
Netanyahu kini sedang menjalankan kempen menjelang pilihan raya parlimen pada 17 September.
Sejak beberapa minggu lalu insiden keganasan semakin memuncak di Tebing Barat disebabkan konflik antara polis Israel dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa.
Penempatan itu terletak di Tebing Barat yang dirampas Israel dalam perang Timur Tengah pada 1967. Israel terus menguasai wilayah Palestin walaupun menerima kritikan masyarakat antarabangsa. – Bernama, 26 Ogos, 2019.
Komen