POLIS Kelantan berjaya menahan 10 lelaki serta merampas 5,942 biji pil Yaba, 173.2 gram syabu dan 80 biji pil Ectasy bernilai RM87,800 dalam dua operasi berasingan di Gua Musang dan Tanah Merah, minggu lepas.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhamad Piah berkata turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah sepucuk pistol bersama 100 butir peluru hidup.
Beliau berkata polis juga turut menyita harta bernilai RM91,040 melibatkan wang tunai, telefon tangan, barangan kemas, dua buah motosikal serta sebuah kenderaan.
“Berkaitan rampasan pistol, polis telah menyerbu sebuah rumah di pekan lama Gua Musang pada pukul 10 malam, 22 Ogos lalu dan telah menahan lima lelaki berumur antara 38 hingga 61 tahun.
“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil Ectasy dan pil Yaba bernilai RM23,650,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, siasatan yang dilakukan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan.
Jelasnya, pistol dan peluru yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran dengan tujuan untuk dijual semula dengan harga RM10,000.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
“Kesemua suspek ditahan reman bermula 23 Ogos hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut. Bagi kes berkaitan dadah ianya boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi di Tanah Merah pada 24 Ogos lalu pula, Abdullah berkata polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tanah Merah telah menahan lima lelaki hasil serbuan di Kampung Alor Stol dan Jalan Alor Pasir.
Katanya dalam operasi di dua kampung itu, sejumlah dadah jenis pil Yaba dan syabu bernilai RM64,150 berjaya dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kesemua lima suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama, 26 Ogos, 2019.
Komen