Adik pemimpin Korea Utara dilantik ke badan pembuat dasar


Kim Yo-jong (dua dari kiri) mengiringi abangnya, pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dalam satu program pada 2015. – Gambar fail AFP, 9 Oktober, 2017.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un melantik adik perempuannya memegang jawatan kanan dalam parti pemerintah, dan memuji program senjata nuklear negara yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Kim Yo-jong dinamakan sebagai anggota alternatif jawatankuasa pembuat dasar (politburo) dalam parti pemerintah Parti Pekerja Korea, di mana urusan penting negara itu dibuat, kata agensi berita KCNA.

Kenaikan pangkat itu diumumkan bersama beberapa dozen lagi pegawai tertinggi dalam mesyuarat parti itu yang dipengerusikan pemimpin berkenaan pada Sabtu.

Ketegangan peringkat antarabangsa semakin teruk apabila Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berbalas ugutan secara lisan.

Yo-jong, berusia lewat 20-an sering dilihat menemani abangnya dalam pelbagai acara dan diketahui terbabit dalam operasi propaganda parti.

Mereka adik-beradik seibu sebapa – bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-Il dan isteri ketiganya, seorang bekas penari Ko Yong-hui.

Keluarga mereka memerintah Korea Utara sejak 1948. Jong-un mula memerintah negara itu selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Sejak itu, beliau melancarkan empat ujian nuklear – dengan terbaru pada September lalu.

Bapa saudaranya Jang Song-thaek dihukum pada 2013 atas kesalahan pengkhianatan kepada negara sementara abang sebapanya, Kim Jong-nam terbunuh selepas mukanya disapu dengan agen VX di Klia2 pada Februari. – AFP, 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen