PUTRAJAYA sedang menimbang untuk menerbitkan bon Samurai kali kedua kerana kadar faedah yang ditawar oleh Jepun kali ini lebih rendah berbanding sebelumnya, kata perdana menteri.
Dr Mahathir Mohamad berkata dana daripada penerbitan bon itu boleh digunakan untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi Malaysia sekarang.
“Jepun sedia untuk beri kita pinjaman mudah, lagi rendah daripada kadar sebelum ini, jadi kita sedang kaji bagaimana untuk gunakan pinjaman murah ini bagi menangani masalah kewangan negara,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia ke-5 di ibu negara.
Pada Mac lalu, Putrajaya berjaya menerbitkan bon samurai dengan jaminan Japan Bank of International Cooperation (JBIC) bagi had tempoh matang 10 tahun dengan kos keseluruhan kepada kerajaan Malaysia sebanyak 0.63% setahun.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hasil kutipan daripada terbitan bon Samurai itu akan digunakan untuk membiaya perbelanjaan pembangunan, antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur.
Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank adalah pengatur utama bersama bagi terbitan itu.
Beliau berkata kejayaan terbitan bon Samurai oleh Malaysia yang menarik lebihan langganan sebanyak 1.6 kali ganda iaitu 324.7 billion yen berbanding 200 bilion yen ditawarkan, mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kemampuan kewangan negara.
Beliau ketika itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan kembali bon Samurai kedua, sekiranya kadar faedah yang dikenakan adalah rendah. – 26 Ogos, 2019.
Komen