BEBERAPA pegawai polis di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sedang dipantau oleh Bukit Aman selepas dipercayai ada kaitan rapat dengan sindiket dadah di sempadan Malaysia-Thailand.
Pemantauan ke atas mereka dibuat hasil maklumat orang ramai yang disalurkan kepada talian khusus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, katan pengarahnya Mohd Khalil Kader Mohd.
Talian khas itu dibuka sejak 29 Julai lalu dalam usaha pasukan polis melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di Malaysia, yang disifatkan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai cukup parah.
Khalil memberitahu The Malaysian Insight, hasil bantuan orang ramai, polis mengesan beberapa “buah busuk” dalam pasukan yang perlu dicantas.
“Kami menerima 181 aduan sehingga ke minggu ini dan kebanyakan maklumat itu adalah sahih mengenai makmal dadah, tokan dadah dan pelbagai.
“Berdasarkan maklumat itu, kami mengenal pasti beberapa lokasi panas di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan yang perlu diberi perhatian serius.
“Saya juga perlu bersihkan dua atau tiga buah busuk dalam jabatan di kawasan terbabit yang berkomplot dengan sindiket dadah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, polis akan membuka fail siasatan terhadap setiap aduan yang diterima melalui talian khas itu dan siasatan akan dibuat dengan rapi.
Beliau menyifatkan kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kegiatan dadah sangat penting dan membantu.
“Kami juga berjaya melancarkan banyak operasi hasil daripada aduan ini,” katanya.
Khalil menjelaskan talian khas 012-2087222 beroperasi 24 jam dan menerima maklumat sama ada melalui panggil atau kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp.
“Pemberi maklumat tidak perlu khuatir terhadap keselamatan mereka kerana semua butir maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan,” katanya.
Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan mengenai kegiatan jual beli dadah secara terbuka di kawasan Ujung Batu, Butterworth yang dipercayai turut didalangi beberapa anggota dan pegawai daripada Cawangan Narkotik daerah.
Menurut Khalil, pihaknya maklum mengenai laporan itu sedang dalam usaha mengambil tindakan.
“Sindiket di kawasan itu tidak kebal dan mereka dalam pemerhatian kami,” katanya.
Bukit Aman meningkatkan operasi membanteras kegiatan dadah selepas Ketua Polis Negara sendiri mengakui ada pegawai dan anggota polis terlibat.
Polis baru-baru ini melancarkan Operasi Blue Devil atau Setan Biru yang sehingga ini sudah menyaring lebih 4,000 pegawai dan anggota.
Setakat ini, lebih 100 disahkan terlibat dadah. – 28 Ogos, 2019.
Komen