Kereta terbang hanya sia-sia, kata pegawai PBB


Sheridan Mahavera

USAHA mewujudkan kereta terbang hanya akan membazirkan sumber dan masa untuk Malaysia yang sepatutnya bersedia dengan kesan perubahan iklim yang sudah berlaku, kata seorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelapor Khas PBB Prof Philip Alston berkata kereta terbang tidak praktikal di Malaysia kerana negara ini kerap dilanda ribut dan ia juga akan menggunakan terlalu banyak bahan api fosil

“Sebaliknya kerajaan harus menumpukan kepada mengorientasikan semula ekonomi dari pergantungan kepada minyak dan gas serta industri yang mesra alam,” katanya yang merupakan pelapor khas untuk kemiskinan melampau dan hak asasi manusia.

Alston berkata, Malaysia juga harus memberi tumpuan kepada perancangan kecemasan untuk bencana alam yang kerap dihadapi oleh golongan miskin dan mereka yang terdedah dengan risiko berkenaan. 

“Perancangan ekonomi saat ini nampaknya terus berjalan seolah-olah perubahan iklim adalah masalah pendidikan masyarakat, daripada memerlukan perubahan dalam dasar rasmi,” kata Alston dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada akhir kunjungannya.

Menurutnya, dasar-dasar yang tidak sepatutnya termasuk memberi tumpuan kepada projek seperti kereta terbang hanya sia-sia di negara ini yang sering dilanda ribut.

“Kerajaan perlu menyatakan sejauh mana kita menyokong industri ini.

“Kita perlu menekankan industri mesra alam dan bukannya memburukkan lagi masalah,” katanya.

Kereta terbang merupakan projek Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof tetapi usaha itu dikritik kerana tidak realistik.

Redzuan bagaimanapun mendakwa prototaip bagi usaha sama Malaysia-Jepun itu hampir 85% selesai. 

Prototaip ini sedang dibangunkan oleh Kumpulan Aerodyne dengan kerjasama rakan kongsi Jepun yang mana menteri itu berkata ia akan menjadi inisiatif sektor swasta. – 26 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen