Skuad Sabil kekuatan baru Umno, kata Zahid


SM Amin

Zahid ketika berucap ada majlis penutup latihan Skuad Sabil di Janda Baik, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2019.

PASUKAN sukarelawan beruniform Pemuda Umno, Skuad Sabil akan jadi kekuatan baru dan tulang belakang parti menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Skuad Sabil akan diberi latihan secukupnya bagi menyemai semangat sukarelawan dan pengorbanan dalam menghayati perjuangan Umno memartabatkan Islam, bangsa dan negara.

“Kita bina kekuatan baru. Ini penting kerana kita mahu menyampaikan satu pesanan di luar sana, kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan bahawa Umno komited untuk rampas semula kerajaan.

“Kita ditekan, dihenyak, dipukul, dianiaya, dizalimi namun jangan main-main dengan Skuad Sabil ini. 

“Jika ditakdirkan PRU mengejut diadakan atas faktor apa pun, setiap Parlimen dan Dun, barisan hadapannya adalah Skuad Sabil,” kata Zahid di Janda Baik, Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skuad Sabil Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sekaligus menutup kursus pasukan itu di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu).

Asyraf Wajidi hadir pada majlis penutup latihan Skuad Sabil di Janda Baik, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2019.

Program tiga hari sejak Jumaat itu melibatkan 300 peserta terdiri dalam kalangan anggota Pemuda Umno serta orang awam, yang menjalani latihan sebagai kumpulan perintis Skuad Sabil.

Pemuda Umno menubuhkan Skuad Sabil, yang diharapkan akan jadi seperti Unit Amal PAS, lapor media pada Mei lalu.

Dalam iklan pengambilan ahlinya pada Julai lalu, Skuad Sabil dibayangkan antaranya semasa bencana dan musibah, selain membantu kelancaran penganjuran perhimpunan rakyat.

Penyertaannya terbuka kepada belia berumur lebih 18 tahun, cergas mental dan fizikal serta minat aktiviti kesukarelawanan.

Menurut Zahid, Umno mengiktiraf penubuhan Skuad Sabil di bawah Pemuda Umno dan berharap ia dapat kekal sebagai jentera baru parti walaupun berlaku perubahan kepimpinan nanti.

“Saya mahu siapa juga yang akan mewarisi jawatan ketua pemuda Umno, jawatan presiden Umno, Skuad Sabil tetap wujud walaupun pemimpin itu datang dan pergi.

“Sebagai menghargai pengiktirafan ini, maka pembiayaan sepenuhnya latihan akan ditanggung oleh Umno Malaysia. Ilmu ini akan dijadikan sebagai pusat latihan rasmi Skuad Sabil,” katanya.

Sebahagian anggota Skuad Sabil pada majlis penutup latihan kumpulan sukarelawan itu di Janda Baik, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2019.

Bagaimanapun, Zahid mengingatkan anggota Skuad Sabil supaya tidak berlawanan dengan mana-mana agensi kerajaan dalam menghulur bantuan seperti bencana banjir dan sebagainya.

“Sebagai pasukan sukarelawan, apa pun yang berlaku sama ada bencana alam atau apa sahaja, kita tidak mahu bersaing dengan pihak berkuasa, agensi.

“Kita adalah penyumbang, jangan ada salah tafsir. Kita tidak akan timbulkan masalah kepada pasukan yang sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan penggunaan nama “sabil” tidak harus disalah erti kerana ia bukan bermaksud hendak berperang dengan kaum atau agama lain.

Zahid bergambar bersama Skuad Sabil pada majlis penutup latihan kumpulan sukarelawan itu di Janda Baik, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2019.

Jelasnya, sabil adalah istilah syariah yang memberikan makna melakukan segala apa kebaikan dan kebajikan yang disyariatkan oleh Allah.

“Umno bukan parti yang ektremis. Kita sangat bersederhana. Buktinya 61 tahun kita memerintah negara, kita tidak pernah berhadapan dengan suasana seperti pada hari ini. Situasi perkauman dan agama berada pada keadaan yang paling teruk dalam sejarah.

“Skuad ini dicetuskan atas hasrat untuk kita berbangkit kepada rakyat dan masyarakat sebagai golongan muda yang menjadi benteng kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen