Masihkah kamu ingat suatu ketika dulu…


SEBELUM negara mengecapi kemerdekaan jauh sekali kemakmuran kebanyakkan rakyat dan datuk nenek kita suatu masa dahulu merupakan golongan nelayan dan petani.

Hasil dari pekerjaan nelayan dan petani maka lahirlah bijak pandai, cendekiawan, pemimpin dan jutawan.

Dengan hasil nelayan dan petani sedikit demi sedikit negara membina kekuatan dan acuan untuk melopori dunia industri. 

Negara asing juga terlebih dahulu di depan dalam memonopoli dunia industri namun petani dan nelayan mereka seiring dengan kejayaan bidang industri kerana tumpuan dan kerajaan bersama dalam menyediakan prasarana.

Bukan itu sahaja, kecintaan kepada alam dan ekosistem semakin menebal.

Sayang seribu kali sayang ketika negara Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-62, ketika ini juga ramai cendekiawan, jutawan, cerdik pandai serta pemimpin sedang menyamah hasil nelayan di hotel mewah dan restoran terkenal telah lupa keringat nelayan dan petani.

Ketika ini juga nelayan Pulau Pinang bersendirian dalam menangisi dan meratapi kerosakan ekosistem dan sumber pendapatan utama mereka kerana hari demi hari laut mereka dicerobohi oleh tangan manusia yang tamak.

Golongan mementingkan temolok sanggup membiarkan nelayan Pulau Pinang dan keluarga mereka meratapi hari esok yang semakin kelam.

Mungkin ada suara yang menyatakan golongan nelayan ini hanya menyalak bukit tetapi bagi kami kaum nelayan akan terus berjuang demi sesuap nasi walaupun kerajaan seakan mengetepikan suara kami.

Namun ingatlah hasil titik peluh inilah yang negara kecapi suatu ketika dahulu. 

Wahai pemimpin dan Yang Berhormat, ingatlah kami juga mempunyai keluarga yang perlu disara. 

Jika kami dilayan seperti anjing menyalak bukit, kami juga boleh melayan anda sedemikian ketika tempoh kekuasaan anda menghampiri edahnya.

Selamat menyambut kemerdekaan ke-62 tahun dari kami nelayan Pulau Pinang yang ditindas. – 24 Ogos, 2019.

Persatuan Nelayan Pulau Pinang.


 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen