UTUSAN Melayu Bhd dapat bernafas semula kerana mendapat suntikan dana RM1.6 juta daripada rakan-rakan Umno, kata sumber parti itu.
Ia membolehkan Utusan meneruskan operasi dan membayar pendahuluan gaji RM2,000 kepada setiap orang kakitangannnya yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu, kata sumber itu.
Sumber berkata, rakan-rakan parti itu membantu kerana Umno sendiri sukar menampung kos operasi parti kerana akaun dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Masalah Utusan ini bukan Umno tidak ambil peduli. Walaupun Umno sudah jual saham dalam Utusan, kita masih ikut perkembangan.
“Masalahnya kita memang tidak mampu nak tolong. Kita tidak ada duit banyak itu. RM1.6 juta itu pun kita minta bantuan dari rakan-rakan parti,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sumber penderma itu.
Umno menyalurkan dana itu susulan piket dijalankan kakitangan Utusan Isnin lalu, termasuk bekas pekerja yang mengambil skim pemisahan sukarela (VSS).
Kumpulan kakitangan itu mendesak syarikat itu membayar gaji serta pendahuluan bayaran bulanan VSS yang tertunggak beberapa bulan.
Pada hari sama, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan persetujuan menyalurkan dana itu dalam pertemuan dengan lembaga pengarah syarikat.
Bagaimanapun, Umno menegaskan bahawa parti itu tidak berkuasa lagi dalam pengurusan baharu Utusan selepas menjual sahamnya kepada pihak swasta sejak Februari lalu.
Umno juga menjelaskan, masalah yang dihadapi Kumpulan Utusan adalah merupakan isu pengurusan serta perniagaan dan tidak harus dipolitikkan sama sekali.
Parti itu melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6 peratus dalam syarikat akhbar itu, melibatkan 35 juta unit saham Utusan kepada Opulence Asia Sdn Bhd.
Opulence Asia Sdn Bhd merupakan syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir yang merupakan bekas ahli Parlimen Umno.
Utusan pada hari Selasa mengumumkan syarikat itu akan meneruskan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo dengan menaikkan harga jualan sebanyak 50 sen.
Penyenaraian Utusan di pasaran saham akan dibatalkan pada hujung bulan ini. – 24 Ogos, 2019.
Komen