Kemasukan Go-Jek untuk persaingan sihat, bantu peniaga kecil, kata Syed Saddiq


Lee Chi Leong

Langkah Syed Saddiq untuk mendapatkan kelulusan kabinet bagi kemasukan Go-Jek telah dipersoalkan oleh sesetengah pihak mengapa keutamaan diberikan kepada syarikat asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2019.

KEMASUKAN syarikat perkhidmatan Go-Jek ke pasaran Malaysia bertujuan untuk memberi manfaat kepada orang ramai, dari golongan belia yang menganggur hingga restoran makanan kecil tepi jalan dengan matlamat meningkatkan sektor pengangkutan dan logistik e-dagang di Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman .

Beliau berkata kejayaan perkhidmatan penghantaran GrabFood dan FoodPanda menunjukkan bagaimana perniagaan kecil mendapat manfaat apabila  disenaraikan dalam perkhidmatan e-hailing.

Dan kemasukan Go-Jek, syarikat logistik terbesar di Indonesia, akan membantu meluaskan “ekosistem” yang dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

“Ada yang mengatakan (membawa Go-Jek masuk) bukan cara untuk membantu kemajuan Malaysia, mereka bertanya mengapa tiba-tiba beri tumpuan kepada motosikal.

“Tetapi hakikatnya, ekosistem Go-Jek besar.

“Seperti yang anda dapat lihat daripada GrabFood dan FoodPanda, kini anda boleh menikmati makanan yang dihantar dari ‘warung’ kecil bahkan juga durian. Jadi warung kecil boleh mendapat manfaat dengan menjadi sebahagian daripada ekosistem ​​yang lebih besar ini dengan disenaraikan bagi khidmat penghantaran, bukan hanya restoran besar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup di bengkel Akademi Kenegaraan di Kuala Lumpur hari ini.

Langkah Syed Saddiq untuk mendapatkan kelulusan kabinet bagi kemasukan Go-Jek telah dipersoalkan oleh sesetengah pihak mengapa keutamaan diberikan kepada syarikat asing.

Beliau bagaimanapun mengulangi bahawa Go-Jek tidak akan diberikan apa-apa monopoli ke atas sektor e-hailing dan logistik, dan menggesa pesaing Malaysia Dego Rides untuk meningkatkan persaingan.

“Ya, 100% (untuk Dego Rides). Jika ada, kita mesti membantu industri tempatan kita. Seperti yang saya nyatakan, tiada siapa yang harus memegang monopoli untuk ini.

“Hakikat bahawa Dego telah diketepikan sebelum ini adalah sebab terbesar mengapa kita melakukan ini. Ini adalah ekosistem keseluruhan. Kami mahu Dego Rides, Go-Jek, GrabBike dan lain-lain, untuk bersaing demi kepentingan pengguna.

“Saya mendengar Dego Rides sangat berminat dan itu satu petanda yang baik. Saya mahu memastikan pengguna tempatan mendapat manfaat paling banyak,” katanya.

Dego Rides yang menjalankan perkhidmatan logistik berasaskan motorycle, sebelum ini telah menyediakan perkhidmatan teksi motosikal tetapi telah diharamkan pada tahun 2017 atas alasan keselamatan. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen