PKR mendakwa Putrajaya cuba melengahkan masa berhubung perbincangan mengenai hak dan autonomi dengan Sabah dan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How berkata ia jelas dalam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri bahawa mereka masih menunggu jawapan persoalan tentang “perundangan dan perlembagaan” dua negeri terbabit daripada Peguam Negara Apandi Ali.
“Mereka telah mengadakan mesyuarat demi mesyuarat dan masih belum ada perkembangan untuk dimaklumkan kepada rakyat Sarawak,” katanya merujuk kepada kenyataan Nancy.
Nancy turut mempengerusikan jawatankuasa teknikal peringkat negeri untuk membantu Sabah dan Sarawak dalam rundingan pertukaran kuasa bersama Ketua Menteri Sabah Musa Aman.
Beliau baru-baru ini berkata jawatankuasa “masih menunggu butiran daripada Peguam Negara dan jawatankuasa itu dilaporkan telah mengadakan pertemuan sebanyak empat kali sejak Disember tahun lalu.
“Nampaknya Putrajaya mencari alasan untuk melengahkan perbincangan,” kata See.
Naib pengerusi PKR Sarawak itu juga berkata Putrajaya juga dilihat cuba melengahkan perbincangan mengenai hak dan autonomi itu sehingga selepas pilihan raya ke 14.
See berkata, sekiranya Barisan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak memenangi pilihan raya, maka beliau mungkin tidak mahu meneruskan proses itu.”
“Atau mungkin melengahkan untuk lima tahun lagi. Janji untuk berikan autonomi dan mengembalikan hak yang hilang hanya di bibir sahaja. Pemanis pilihan raya. Mereka tidak serius.”
Dua negeri Borneo Malaysia itu ketika di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Februari lalu kerana komplikasi jantung, menuntut kerajaan persekutuan untuk menghormati semua syarat Perjanjian Malaysia 1963 - perjanjian yang membantu pembentukan Malaysia.
Perjanjian penuh mungkin bermakna beberapa keputusan yang menyakitkan harus dibuat oleh kerajaan persekutuan seperti membatalkan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum kontroversi, yang diluluskan pada tahun 1974 untuk membatalkan hak-hak Sabah dan Sarawak terhadap semua minyak dan gasnya.
Dalam masa yang sama See juga menyelar kerajaan Sarawak kerana hanya menurut kerajaan persekutuan.
Katanya selepas kematian Adenan, Sarawak juga “hilang desakan” untuk meneruskan perbincangan itu.
“Nampaknya tiada keikhlasan bagi kedua-dua pihak kerajaan negeri dan persekutuan untuk meneruskan isu ini,” katanya.
“Sudah banyak mesyuarat yang dibuat, mengapa tidak boleh nyatakan kepada rakyat (Sabah dan Sarawak) apa yang sudah dicapai. Itu yang rakyat mahu dengar. Bukan alasan demi alasan.”
Semalam, Nancy turut mendedahkan jawatankuasa pemandu di peringkat persekutuan masih belum mengkaji laporan yang dihantar oleh jawatankuasa teknikal.
Nancy pada program sambutan Deepavali di Kuching berkata, ia memerlukan masa kerana ada isu berbangkit dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal dengan jawatankuasa pemandu tiga bulan lalu “perlu disemak semula dan dikaji oleh Peguam Negara”. – 9 Oktober, 2017.
Komen