Polis kutip penganjur demo antitulisan Jawi


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Orang ramai berhimpun bagi mengadakan protes pelaksanaan pelajaran Jawi di sekolah-sekolah vernakular di Brickfields Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Ogos, 2019.

PENGANJUR demo antitulisan Jawi ditahan polis petang ini sewaktu berucap di lokasi perhimpunan di Brickfields.

The Malaysian Insight menyaksikan pengerusi penyelaras perhimpunan Umagandhan Krishnan ditahan sewaktu perhimpunan itu.

Seorang lagi individu turut ditahan semasa perhimpunan yang dihadiri 500 orang itu adalah Pengerusi Malaysia Chinese-Educated Students’ Association, Tan Boon Tak.

Kedua-duanya ditahan selepas berucap sekitar jam 7.20 malam kepada peserta yang berhimpun di kawasan air pancut di persimpangan Jalan Rakyat dan Jalan Sambanthan di Brickfields.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Arifai Tarawe mengesahkan kedua-duanya dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields dengan ditemani seorang peguam, Dinesh Muthal.

Orang ramai mula berkumpul sekitar jam 6 petang dalam perhimpunan digelar “Puratchi” yang bermaksud “revolusi” dalam bahasa Tamil.

Bagaimanapun, perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kata Arifai.

“Penganjur gagal mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kami terpaksa menyuraikan perhimpunan yang dijadualkan tamat pada jam 9 malam ini lebih awal akibat kesesakan trafik di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpir Mazlan Lazim berkata perhimpunan itu diadakan tanpa kebenaran polis kerana tidak tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman. 

Beliau juga mengesahkan penahanan Umaghandan, 34 dan Tan, 67 dibuat mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Kumpulan itu mulai bersurai sekitar jam 9 malam namun kira-kira 50 orang kembali berhimpun setengah jam kemudian dan mula berarak.

Kumpulan berkenaan antara lain melaungkan slogan “Kami bantah Jawi di sekolah vernakular” sambil berarak menuju ke balai polis Brickfields. 

Kemaraan kumpulan itu disekat serta-merta oleh polis yang turut meminta agar bersurai.

Kumpulan berkenaan bersurai sepenuhnya selepas dinasihati peguam.  – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen