Jelajah presiden untuk gilap perjuangan PKR, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Anwar dijadualkan mengadakan lawatan ke Terengganu esok selepas melawat sekitar Kuala Lumpur minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

PROGRAM jelajah ke seluruh negara diteruskan untuk menyemai semangat juang dalam kalangan ahli parti, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, jelajah kali ini adalah pusingan kedua yang dimulakan sejak beliau memenangi jawatan pesiden tanpa bertanding dalam pemilihan PKR pada Ogos tahun lalu.

“Ini acara setiap beberapa bulan sekali, saya buat pusingan ke negeri-negeri, saya ada buat sejak jadi presiden (PKR) dah sekali, ini kali kedua.

“Seperti biasa, bagi saya (jelajah ini) supaya gilap parti, itu fokus kepada isu perjuangan, dan semangat perpaduan dalam parti,” katanya ketika ditemui pemberita di Port Dickson hari ini.

Anwar dijadualkan mengadakan lawatan ke Terengganu esok selepas melawat sekitar Kuala Lumpur minggu lalu.

Lawatan ke Terengganu itu pada mulanya dijadualkan untuk diadakan pada 2 Ogos lepas namun dibatalkan kerana beliau berangkat menunaikan haji pada keesokan harinya.

Pada masa sama, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengadakan program bersama pekebun kecil di Terengganu sehari sebelum program Anwar turut membatalkan program berkenaan.

Penganjuran acara Azmin itu menerima reaksi keras Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menyifatkan menteri itu tergesa-gesa mengadakan program sehingga bertembung dengan acara Anwar.

Namun program Anwar esok di Terengganu juga akan bertembung dengan program Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Azan bagaimanapun menafikan bahawa program berkenaan adalah usaha untuk memboikot jelajah Anwar.

Azan berkata, ini kerana, program jelajah presiden PKR itu adalah program politik dan tiada kaitan dengan program rasmi kerajaan.

Kementerian Kesihatan akan menganjurkan Program Kampungku Sihat dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Kesihatan negeri yang dirasmikan menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) akan menganjurkan program Jom Jumpa Rukun Tetangga Peringkat negeri di daerah Marang serta Hulu Terengganu.

Program itu membabitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Md Farid Md Rafik. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen