Tak perlu demo bantah Zakir Naik, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata demonstrasi membantah Zakir Naik hanya akan meningkatkan semula ketegangan yang timbul akibat ucapan penceramah kontroversi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

PERHIMPUNAN membantah Zakir Naik yang dirancang diadakan esok ini perlu dibatalkan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, demonstrasi berkenaan hanya akan meningkatkan semula ketegangan yang timbul akibat ucapan penceramah kontroversi itu.

Sedangkan, keadaaan sudahpun reda apabila Zakir disiasat dan dihalang daripada berceramah, kata Anwar.

“Saya menggesa penganjur himpunan Say No to Zakir Naik serta beberapa himpunan lain untuk menghentikan penganjuran kerana keadaan sudah reda dan tiada keperluan untuk melakukannya.

“Zakir Naik juga sudah dilarang untuk berceramah di seluruh negara oleh pihak polis maka meneruskan bantahan tersebut hanya akan meningkat serta memanaskan lagi suhu politik negara sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Kenyataan itu muncul selepas polis mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan berlaku rusuhan di Brickfields, lokasi yang dirancang sebagai tempat perhimpunan anti-Zakir Naik.

Menurut polis mesej yang tular di media sosial itu mendakwa ia akan berlaku rusuhan di kawasan Little India, Brickfields, di Kuala Lumpur pada hari ini dan esok.

Polis memberi jaminan keadaan di kawasan tersebut selamat dan terkawal.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh beberapa kumpulan Hindu yang menuntut Zakir dihantar pulang.

Zakir menimbulkan kekecohan dengan mengeluarkan komen menyinggung perasaan kaum Cina dan penganut Hindu dalam satu ceramah di di Kelantan awal bulan ini.

Beliau disoal oleh pihak polis beberapa kali dan juga bertindak menyaman lima individu kerana memfitnah. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen