Mesyuarat dengan PM hanya untuk anggota Kabinet, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak hadir pertemuan dengan perdana menteri kerana ia hanya melibatkan ketua parti dalam PH yang mempunyai jawatan dalam Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

PERTEMUAN pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) bersama Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bukan pertemuan rasmi berkaitan urusan parti, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Oleh itu beliau tidak hadir ke pertemuan itu kerana perdana menteri juga hanya menjemput ketua parti dalam PH yang mempunyai jawatan dalam Kabinet, katanya.

“Tun panggil ketua-ketua dalam jemaah menteri dan kemudian itulah sebabnya mereka undang (Timbalan Perdana Menteri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail), bukan (pertemuan) rasmi parti

“(Pertemuan itu) ialah (antara) menteri yang wakili PH dalam Kabinet, tidak ada masalah, ada satu dua orang (buat bising), biasalah,” kata Anwar di Port Dickson hari ini.

Beliau mengulangi penjelasan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada Khamis yang menafikan Anwar sengaja enggan menghadiri pertemuan pada petang Rabu lalu.

Isu berkenaan dibangkitkan pemimpin Bersatu Jasin, Khairuddin Abu Hassan yang menuduh Anwar tidak menghormati Dr Mahathir kerana enggan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Khairuddin dalam kenyataan di Facebook mendakwa Anwar lebih mengutamakan mesyuarat biro politik PKR semalam berbanding mesyuarat perdana menteri bersama presiden parti.

Beliau juga mendakwa ego Anwar terlalu tinggi, syok sendiri dan tidak tahu meletakkan keutamaan dalam hal ehwal pentadbiran PH.

PKR menganggap tuduhan berkenaan tidak berasas dan berniat jahat.

Fahmi menjelaskan jemputan perdana menteri khusus buat pimpinan PH yang mula-mula terlibat dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018.

Pertemuan itu juga untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh portfolio menteri terbabit, katanya. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen