Pulau Pinang dapat teksi air, feri tambahan


Zaim Ibrahim

Perkhidmatan feri sedia ada akan dikekalkan kerana mempunyai nilai sentimental bagi penduduk Pulau Pinang dan mungkin dijadikan feri pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

PERKHIDMATAN feri menghubungkan Butterworth dan Georgetown akan ditambahbaik dengan menggunakan teksi air untuk penumpang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Jelasnya, perkara itu telah dibincangkan antara pihak Prasarana Malaysia Bhd, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan sebagai langkah menaik taraf perkhidmatan feri.

Tambah beliau, dana RM90 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada Prasarana tahun lepas masih belum dibelanjakan yang menyebabkan perkhidmatan feri masih di takuk lama.

“Sebenarnya dana RM 90 juta itu belum dibelanjakan. Sebab ada beberapa isu perundangan yang perlu diselesaikan dengan pihak operator terdahulu.

“Prasarana akan teruskan rancangan untuk menaik taraf feri dan salah satu rancangan ialah memperkenalkan teksi air atau bot katamaran.

“Tahun ini tak sempat, mungkin keputusannya akan diketahui setahun atau dua tahun lagi,” kata beliau dalam satu sidang media selepas melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight mengenai keluhan pengguna ke atas perkhidmatan feri yang masih di takuk lama walau selepas menerima suntikan dana dan bertukar pengendali.

Antara keluhan mereka ialah kesesakan feri pada waktu puncak dan kemudahan lain yang masih mundur.

Mengulas lanjut, Loke berkata perkhidmatan feri sedia ada tetap dikekalkan kerana mempunyai nilai sentimental bagi penduduk Pulau Pinang dan mungkin dijadikan feri pelancong.

“Feri sedia ada akan dikekalkan cuma kita nak dia jadi feri pelancong. Feri bawa kenderaan mungkin ditambah sebuah atau dua buah lagi.

“Teksi air pula untuk bawa penumpang (yang berulang-alik dari Seberang Perai ke Georgetown),” jelas beliau.

Tahun lepas, Prasarana melalui anak syarikatnya, Rapid Ferry Sdn Bhd mengambil alih operasi feri Pulau Pinang daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Sebelum itu, perkhidmatan feri berkenaan dikendalikan Penang Port Sdn Bhd sejak 1 Januari 1994.

Ogos tahun lepas, dana sebanyak RM90 juta diumumkan oleh Loke untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan dan pembelian feri baharu.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Pelan Pembangunan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, yang termasuk dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen