Tragedi Nora tak jejas sektor pelancongan, kata Tourism Malaysia


Alfian Z.M. Tahir

Nora Anne Quoirin (poster) ditemui meninggal dunia selepas hilang sepuluh hari dalam hutan berhampiran Seremban. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

TRAGEDI kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin tidak menjejaskan industri pelancongan, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Musa Yusof.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Musa berkata kementerian masih tidak menerima maklum balas negatif daripada agensi pelancongan kerana kejadian itu.

“Setakat yang kami tahu, tidak ada kesan negatif terhadap sektor kita. Ia kejadian yang menyedihkan, dan kita semua bersimpati dengan keluarga (Quoirin).”

“Bagaimanapun, pemeriksaan dibuat kementerian menunjukkan reaksi positif,” kata Musa.

Quoirin, 15, ditemui meninggal dunia selepas hilang sepuluh hari dalam Hutan Lipur Jeram Toi di resort The Dusun Pantai Hill, berhampiran Seremban.

Mayatnya ditemui di sebuah air terjun kecil oleh sekumpulan sukarelawan, punca kematiannya disahkan kerana kebocoran usus kerana tidak makan beberapa hari.

Polis juga sudah menolak wujud unsur jenayah tetapi keluarganya masih belum dapat menerima kehilangan anaknya itu.

Mayat Qoirin dibawa balik ke London selepas bedah siasat dan pihak berkuasa Perancis juga sedang menjalankan siasatan.

Ibu gadis itu, Meabh Jaseprine berasal dari Ireland, manakala ayahnya Sebastien Marie Philipe adalah warga Perancis. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen