KBS, jangan khianati Bahasa Melayu!


PENJENAMAAN semula Hari Sukan Negara (HSN) kepada nama baharu iaitu Malaysia Sports Challenge (MySC) merupakan satu tindakan yang dayus Kementerian Belia dan Sukan. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Steven Sim boleh dianggap sebagai suatu usaha pengkhianatan kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Sebelum ini, KBS turut meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu dalam penjenamaan beberapa inisiatif yang dilaksanakan. Antaranya pada penjenamaan Youth Power Club, Malaysia Future Leaders, Impact dan terkini Malaysia Sports Challenge.

Tindakan KBS jelas dilihat tidak menghormati penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sebagaimana termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Sewajarnya KBS sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam soal pembangunan anak muda turut sama-sama mengambil peranan memasakkan jati diri kemalaysiaan dalam jiwa generasi muda termasuklah dalam soal penggunaan Bahasa Melayu.

Demikianlah tindakan tidak bermaruah KBS. Malaysia Baharu yang kita idamkan itu tidak terpisah daripada sejarah sebelum 9 Mei.

Malaysia Baharu bukanlah penafian terhadap jasa-jasa agung yang berbekas daripada hasil titik peluh, darah, air mata dan usaha pejuang-pejuang kemerdekaan semenjak awal kebangkitan menentang penjajah, sehinggalah kemerdekaan, sehinggalah penyatuan Malaysia, sehinggalah Reformasi, sehinggalah kemenangan rakyat di era Malaysia Baharu.

Malaysia Baharu juga bukan hanya berkisar soal menukar nama projek, menggantikan yang kusam kepada yang elok tetapi wajar dilihat suatu proses penambahbaikan sesuatu pendekatan.

Nasihat kepada menteri dan KBS, daripada sibuk menukar ganti nama, baiklah kalian meneliti deretan janji yang telah dibuat dalam PRU yang lepas kepada generasi muda.

Tidak dilupa juga kepada lambakan janji manis peruntukan kepada pertubuhan belia dan sukan yang khabarnya belum dilaksanakan. 

Justeru, KBS wajar meneliti semula penjenamaan program Hari Sukan Negara dalam Bahasa Inggeris. Apa salahnya dikekalkan sahaja sejajar dengan semangat sukan sebagai wahana penyatuan rakyat. Janganlah kita menjadi ibarat peribahasa “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. – 23 Ogos, 2019.

*Ahmad Farhan Rosli adalah penolong setiausaha agung 1 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen