LGBT boleh demo tapi Zakir Naik tak boleh ceramah, kata pembantu


Mohd Farhan Darwis

Polis melarang Zakir Naik berceramah di seluruh negara sehingga siasatan selesai, larangan yang kini dicabar pembantu penceramah kontroversi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

PEMBANTU Zakir Naik mempersoalkan kewajaran pihak polis melarang penceramah itu daripada berucap kepada pengikutnya di negara ini, termasuk melalui laman media sosial.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador harus menjelaskan undang-undang yang dijadikan alasan larangan berkenaan.

“Di Malaysia kalau hendak halang seseorang ia mesti dikeluarkan oleh hakim, melainkan ada peruntukan undang-undang khusus yang halang individu tertentu daripada memberi ceramah,” katanya.

Katanya, undang-undang memberi kuasa menghalang penceramah yang terlibat dengan keganasan atau penceramah tiada tauliah tetapi dalam kes ini polis tidak menamakan peruntukan terbabit.

Oleh itu beliau mendesak Hamid menyatakan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa untuk menyekat ceramah Zair.

“KPN guna kuasa mana? Apa sebab Zakir Naik tidak boleh beri ceramah? Kalau katalah KPN beri nasihat, lepas ini apabila Zakir Naik berceramah jangan sentuh isu sentuh perkauman, kita fahamlah.

“Ini (KPN) cakap halang, tak bagi beri ceramah tapi tak berikan sebab,” kata Zamri kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas kenyataan Hamid semalam yang melarang Zakir menyampaikan sebarang ceramah di negara ini termasuk melalui media sosial sehingga siasatan terhadap penceramah itu selesai.

Hamid dalam kenyataannya berkata, larangan itu bertujuan untuk mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

Zakir kini disiasat berhubung ucapan di Kota Bharu pada 8 Disember yang didakwa menghina penganut Hindu dan masyarakat keturunan Cina.

Pembantu Zakir Naik berkata penceramah itu kini dilayan lebih teruk daripada golongan LGBT di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

Mengulas lanjut, Zamri berkata larangan dikeluarkan Hamid itu tidak selari dengan usaha kerajaan baharu yang mempromosikan kebebasan bersuara.

Malah, ia turut menunjukkan hak Zakir untuk bercakap itu lebih rendah berbanding golongan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual yang bebas berdemo untuk menuntut hak, katanya.

“Kerajaan baru sedang memperjuangkan hak asasi manusia untuk bercakap, pondan di jalanan, LGBT boleh bercakap, semua orang boleh bercakap.

“Sampai Zakir Naik dia tidak boleh bercakap, mana logiknya?” katanya.

Jelasnya, golongan LGBT seperti pondan tidak dibenarkan melakukan seks sejenis mengikut undang-undang tetapi berhak berdemo di jalanan.

“... Tapi mereka yang bersemburit datang ke jalanan nyatakan hak mereka, dan itu tak menjadi satu kesalahan,” kata Zamri lagi.

Beliau juga percaya bukan kesemua kumpulan bukan Islam menolak Zakir dan hanya sebahagian kecil masyarakat Islam menolak penceramah itu.

“Bukan semua bukan Islam menentang. Ada ramai orang bukan Islam yang bagus, saya tak nafikan, daripada jumlah orang bukan Islam di Malaysia, hanya sebahagian kecil yang cuba menghalang dakwah Zakir Naik.

“Saya percaya lebih ramai orang sokong Zakir Naik berbanding yang menentang. Kenapa suara minoriti yang diambil peduli, bukan majoriti,” soalnya.

Zamri juga berkata beliau tidak tahu tindakan lanjut yang akan dilakukan Zakir kini memandangkan penceramah itu tidak lagi dibenarkan berucap.

Stesen Peace TV Network milik Zakir yang menyiarkan ceramahnya secara dalam talian ke seluruh dunia bagaimanapun akan meneruskan operasinya, kata seorang lagi pembantu Zakir.

“Ya, kita akan teruskan operasi seperti biasa,” kata Aarif Malek, pegawai media kepada Zakir.

Siaran Peace TV ditonton jutaan pengikut di seluruh dunia walau diharamkan kerajaan India sejak dua tahun lalu kerana didakwa menyiarkan kandungan kontroversi.

Siaran stesen TV berkenaan disiarkan menggunakan aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun di Google Play Store secara percuma.

Aplikasi itu tersedia dalam empat bahasa, Bahsa Inggeris, Urdu, Bangladesh, dan Cina, dan bersiaran selama 24 jam di seluruh India.

Zakir disiasat kali pertama di negara ini pada Jumaat selepas memberikan keterangan selama lima jam di Bukit Aman.

Beliau juga sekali lagi memberi keterangan kepada polis selama pada Isnin, selama kira-kira 10 jam dan kembali ke Bukit Aman untuk siasatan pada Rabu. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen