Zakir lapor polis terhadap Ramasamy sekali lagi


Kalidevi Mogan Kumarappa

PENCERAMAH Dr Zakir Naik membuat laporan polis kedua terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy di Bukit Aman, hari ini atas dakwaan memfitnah.

Peguamnya, Akberdin Abdul Kader berkata Ramasamy memfitnah anak guamnya dalam satu wawancara dengan India Today.

“Hari ini, kami membuat laporan polis kedua terhadap Ramasamy berhubung wawancaranya bersama India Today.

“Antara perkataan kesat yang digunakan terhadap Zakir adalah beracun, penipu, banyak helah dan penyebar kebencian yang nyata memfitnah beliau.

“Esok, saya akan hantar surat tuntutan guaman kepada Ramasamy berhubung kenyataannya itu,” kata Akberdin di Bukit Aman hari ini.

Zakir tiba bersama peguamnya itu pada jam 3.38 petang dan beredar dari Bukit Aman pada jam 7.30 malam.

Akberdin ketika ditemui media berkata, Zakir diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis terhadap lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kerana didakwa memfitnahnya.

Peguam Zakir Naik, Akberdin Abdul Kader berkata satu surat tuntutan guaman akan dihantar kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Ogos, 2019.

Selain Kulasegaran, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, Shah Alam itu membabitkan empat individu lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Dennis Ignatius.

Zakir dijangka ke Bukit Aman semula bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya itu pada Isnin ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, Zakir diambil keterangan pada hari ini berhubung dengan laporan polis yang dibuatnya terhadap beberapa ahli politik sebelum ini.

“Laporan yang dibuatnya itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah,” katanya. – 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen