Kes aneh kehilangan Peter Chong


Muzliza Mustafa Noel Achariam

Peter Chong mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu mempunyai maklumat di mana Pastor Koh yang diculik pada 13 Februari, berada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2017.

BEKAS ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya Peter Chong memberitahu polis beliau tidak tahu menahu operasi pencarian orang hilang besar-besaran dilancarkan untuknya di Malaysia.

Alasannya: telefon bimbit, dompet dan pasportnya dirampas dua lelaki di Hat Yai dan beliau ditahan di sebuah bilik hotel selama tiga hari oleh mereka yang dikatakan memberi amaran kepadanya kerana membuat kecoh mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan cadangan pindaan undang-undang syariah.

Pada masa ini, polis Malaysia sedang menyiasat perkara itu dan beberapa dakwaan lain yang dibuat Chong.

Polis mengambil keterangan Chong, 54, selepas beliau tiba dari Pattaya, Thailand pada Ahad.

Ini apa yang diberitahunya kepada polis:

Katanya, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu ada maklumat di mana Pastor Koh yang diculik pada 13 Februari, berada.

Chong percaya lelaki itu menghubunginya kerana beliau menghadiri acara vigil yang diadakan untuk pastor itu.

Chong membuat keputusan bertolak ke Hat Yai pada 7 April untuk bertemu lelaki itu dan membeli dua tiket – satu untuk seorang rakannya yang hendak ke Bangkok.

Di terminal bas Hat Yai, beliau dan rakannya berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing. Chong didatangi seseorang tidak dikenali yang menunjukkan satu nota tertulis: “Ikut lelaki ini”.

Lelaki itu membawa Chong ke sebuah hotel di Hat Yai di mana beliau bertemu “dua lelaki Melayu” di lobi.

Beliau didesak bercakap mengenai obsesinya terhadap Pastor Koh dan kemudian disoal siasat berhubung bantahannya terhadap RUU355 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada minggu sama dilaporkan hilang.

Beliau diberitahu yang RUU355 hanya untuk umat Islam, dan sebagai bukan Islam, tidak sepatutnya campur tangan perkara itu.

Chong kemudian dibawa ke sebuah bilik di hotel itu di mana pasport, dompet dan telefon bimbitnya diambil. Beliau dikurung dalam bilik itu selama tiga hari dengan seorang lelaki memantaunya.

Selepas tiga hari, penculik itu membawanya ke Pattaya, kira-kira 1,000km dari Hat Yai.

Penculik itu kemudian membebaskannya dan memulangkan pasport.

Chong kemudian meminta bantuan polis Pattaya dan diberitahu agar pulang ke Hat Yai untuk membuat laporan berhubung penculikannya.

Polis juga membenarkannya menghubungi kedutaan Malaysia di Bangkok, tetapi memandangkan tiada sesiapa menjawab panggilannya, Chong kemudian menelefon anak lelakinya, Darryl di Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu  diculik dan tiada wang untuk pulang ke rumah. Keesokan harinya, Darryl memasukkan wang ke kedutaan yang kemudian menghantarnya kepada polis Pattaya yang membelikan tiket untuk Chong pulang ke Malaysia.

Chong tidak kembali ke Hat Yai untuk membuat laporan polis mengenai penculikannya itu.

Beliau tiba di Kuala Lumpur pada Ahad dari Bangkok dan disoal siasat polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Chong tidak pulang ke rumahnya selepas keluar pada 5 April. Beliau tidak berhubung dengan anaknya sebelum berlepas ke Hat Yai pada 7 April.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight yang Chong kini berada di satu lokasi rahsia di Kuala Lumpur dan tidak lagi tinggal di kondominiumnya di Persiaran Raja Chulan.

Ketika siasatan itu, polis juga mendapati wang dalam dua akaun banknya sangat sedikit. Beliau juga tidak membayar sewa rumahnya selama tiga bulan.

Polis juga difahamkan Chong ada memberitahu rakan baiknya beliau menghadapi masalah kewangan dan rasa kecewa kerana tiada yang membantu walaupun selama ini sudah banyak membantu orang.

The Malaysian Insight difahamkan pegawai perhubungan polis Malaysia sekarang berada di Thailand untuk menyiasat sama ada berlaku atau tidak penculikan terhadap Chong.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata polis sedang cuba mengesahkan dakwaan Chong.

“Kami sedang cuba mengesahkan maklumat yang Chong berikan kepada kami. Fail bagi kes laporan orang hilang sudah ditutup,” katanya.

Sementara itu, keluarga Pastor Koh berkata mereka tidak tahu Chong pergi ke Thailand untuk mendapatkan maklumat mengenai kehilangan pastor itu.

Mereka juga berkata tidak pernah bertemu Chong sebelum ini.

Pastor Koh ialah seorang daripada empat aktivis yang hilang dalam tempoh enam bulan ini. – 18 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Personal problem being turned into a national issue by opposition parties n NGO forcing this poor guy to lie. I dunno where u all want to hide ur face after this...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan