POLIS merekodkan keterangan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan bendera Malaysia dipasang secara terbalik di perkarangan rumah ayahnya di Teluk Air Tawar, di Butterworth hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berumur 61 tahun itu mendakwa bendera berkenaan dipasang oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya selepas disuruh ayahnya yang berumur 89 tahun yang tidak mampu memasangnya sendiri.
“Sewaktu sepasukan polis tiba di kediaman itu untuk membuat siasatan, wanita itu memberitahu ayahnya yang juga seorang pesara polis tiada di rumah kerana sedang menerima rawatan sakit jantung di sebuah hospital di Ipoh,” katanya.
Beliau berkata polis telah mengambil tindakan menurunkan bendera itu dan menyiasat kes berkenaan menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM100. – Bernama, 22 Ogos, 2019.
Komen