Greece akan pinda dasar mohon suaka


Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berkata pendatang tanpa izin yang mempunyai hak untuk mendapat suaka boleh kekal di negara itu manakala yang gagal perlu pulang ke Turki. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis pada Rabu berkata, pendatang tanpa izin yang mempunyai hak untuk mendapat suaka boleh kekal di negara ini manakala yang gagal perlu pulang ke Turki, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan. 

Bercakap kepada akhbar Perancis, Le Figaro menjelang pertemuannya dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Mitsotakis berkata, Greece akan meminda dasar permohonan suaka dan mempercepatkan proses membuat keputusan.

Sambil menekankan kepentingan Turki sebagai jiran dan sekutu Nato, Mitsotakis berkata, beliau sedia bekerjasama rapat dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk aspek pendatang.

Katanya, dasar umum mengenai permohonan suaka Kesatuan Eropah, perlu dipatuhi.

Menurut pegawai Turki, pada 2018, Greece dan Jerman adalah negara Eropah teratas yang menjadi tumpuan mereka yang disyaki anggota Pertubuhan Pengganas Fetullah (Feto) mencari suaka politik selepas cubaan rampasan kuasa di Turki gagal.

Feto dan pemimpinnya yang bernaung di Amerika Syarikat, Fetullah Gulen merencanakan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016, menyaksikan 251 orang terbunuh dan hampir 2,200 cedera.

Sejak sekian lama Feto berkempen untuk menggulingkan kerajaan menerusi tindakan menyusup masuk ke dalam institusi Turki terutama tentera, polis dan badan kehakiman. – Bernama, 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen