Nama Malaysia Sports Challenge tak martabat Bahasa Melayu, kata Abim


Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata antara nama yang boleh digunakan adalah 'Cabaran Sukan Malaysia', 'Cabaran Malaysia Cergas', 'Bulan Sukan Malaysia', 'Bulan Sukan Negara' dan apa juga nama, asalkan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2019.

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar nama program Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) yang asalnya adalah Hari Sukan Negara, kepada satu nama lain yang menggunakan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pemilihan nama MySC’19 itu dilihat langsung tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata antara nama yang boleh digunakan adalah ‘Cabaran Sukan Malaysia’, ‘Cabaran Malaysia Cergas’, ‘Bulan Sukan Malaysia’, ‘Bulan Sukan Negara’ dan apa juga nama, asalkan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul.

Katanya sebagai bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, semua pihak sepatutnya lebih peka dan sensitif akan penggunaan Bahasa Melayu khususnya, terutama dalam program-program rasmi membabitkan kerajaan.

“Abim menegaskan bahawa isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan Bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan. Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan MySC’19 merupakan usaha penambahbaikan kepada Hari Sukan Negara (HSN), yang akan berlangsung selama 31 hari sepanjang bulan Oktober berbanding HSN yang dilaksanakan hanya satu hari pada minggu kedua Oktober.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Kiong berkata pihaknya tidak melihat penggunaan nama MySC’19 sebagai satu tindakan merendahkan martabat Bahasa Melayu, sebaliknya ia antara lain bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Muhammad Faisal berkata pihaknya juga menggesa agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan dan kuasa yang lebih luas dan berkesan dalam menangani isu perlecehan Bahasa Melayu yang kini semakin membimbangkan.

“Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan Bahasa Melayu yang lemah pada peringkat sekolah vernakular dan sekolah persendirian,” katanya.

Tegasnya, menjelang sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, adalah penting untuk semua pihak mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain. – Bernama, 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen