Bot bawa pelarian Rohingya terbalik, 12 terkorban


Etnik Rohingya terpaksa melarikan diri dari Rakhine berikutan kekejaman tentera Myanmar. Terdapat di antara mereka menggunakan bot untuk menyeberangi sungai Naf ke Bangladesh. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2017.

SEKURANG-kurangnya 12 dilaporkan terbunuh dan ramai lagi yang masih hilang selepas bot yang membawa pelarian Rohingya kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, terbalik dalam tragedi terbaharu membabitkan pelarian yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, Myanmar. 

Pegawai pengawal pantai dan sempadan berkata, bot terbabit sarat dengan muatan 100 orang ketika ia terbalik pada Ahad di muara sungai Naf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh.

Pegawai Border Guard Bangladesh (BGB), Abdul Jalil memberitahu AFP, 12 mayat sudah ditemui selepas operasi dijalankan sepanjang malam, dan berkata kesmua mangsa terbabit termasuk 10 kanak-kanak, wanita warga emas dan seorang lelaki.

Komander pengawal pantai Alauddin Nayan berkata, bot berkenaan terbalik berhampiran perkampungan Galachar dengan membawa 100 orang pelarian. 

Katanya 40 orang dalam bot terbabit adalah dewasa dan merupakan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari kampung mereka di Rakhine.

“Selebihnya adalah kanak-kanak,” katanya.

Bot pengawal sempadan telah menyelamatkan 13 pelarian Rohingya termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak selepas melalui sungai Naf, kata Jalil. 

Sejak bot berkenaan terbalik berhampiran sempadan Myanmar, Jalil berkata ramai dipercayai berenang ke pantai Rakhine.

Media tempatan melaporkan bot berkenaan terbalik berikutan keadaan ombak besar dan cuaca buruk. – AFP, 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen