Pendengaran kes saman Maria Chin terhadap Jamal ditangguh ke Januari 2018 


Noel Achariam

Pengerusi Bersih Maia Chin Abdullah tersenyum ketika keluar daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Oktober, 2017.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan saman yang difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos. 

Peguam N.Surendran yang mewakili Maria berkata hakim menangguhkan kes itu ke 15 hingga 19 Januari 2018 berikutan terdapat perkara lain yang lebih penting. 

“Terdapat kes yang lebih penting, itu sebabnya hakim menangguhkannya. Kami telah dapatkan tarikh yang ditetapkan hakim tahun depan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah. 

Maria memfailkan saman terhadap Jamal kerana menuduh Bersih mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS. 

Katanya, dia menerima tarikh berkenaan dan menantikan perbicaraan itu. 

“Sebab tindakan mahkamah ini bukan kerana Merah dan Kuning, ia sebenarnya untuk membersihkan nama gerakan kami dan membuktikan tuduhan terhadap Bersih adalah salah.

“Agenda Bersih ialah untuk pilihan raya yang bersih dan adil dan demokrasi untuk masa depan kita. 

“Hanya itu agenda yang kita ada dan kita menentang keganasan serta ancaman yang dibuat terhadap rakyat,” katanya. 

Surendran berkata Maria memfailkan saman keranan dakwaan Bersih sudah ditembusi oleh IS dan dakwaan lain yang akan mengelilingi kawasan tumpuan seperti lapangan terbang. 

“Kerana dakwaan itulah Maria memfailkan saman kerana katanya dakwaan itu tidak benar,” katanya. 

Surendran juga berkata saena turut dikeluarkan terhadap ketua de facto pembangkang Anwar Ibrahim untuk hadir ke mahkamah. 

“‘Order To Produce masih belum siap, tetapi penjara sudah membawanya hari ini. Ia hanya untuk selesaikan kertas kerja,” katanya. 

Peguam Mohamed Nasser Yusof yang mewakili Jamal berkata pihaknya sudah menghantar sepina kepada beberapa individu untuk membantu siasatan.

“Sepina sudah dihantar kepada Dr Mahathir Mohamad kerana beliau membuat kenyataan bahawa Bersih merupakan organisasi ganas. Kami juga mahu tahu mengapa Dr Mahathir menahan suami Maria di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1987 (ISA). Dia (suami Maria) merupakan ahli Gerakan Pembebasan Palestin (PLO). Ia agak relevan kerana kes kita di sini berkait dengan IS. 

“Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun juga kerana beliau adalah bekas pengarah cawangan khas dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar kerana beliau adalah ketua ketika perhimpunan Bersih.

“Dan juga OCPD Kuala Selangor Ruslan Abdullah kerana pergaduhan yang tercetus antara Kuning dan Merah tahun lalu,” katanya. 

Ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos diiringi peguam ketika keluar daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Oktober, 2017.

Tambahnya, dua lagi saksi untuk kes berkenaan adalah peguam Hassan Karin dari Pontian dan Jamal. 

Sementara itu, Jamal ketika ditanya berhubung saman ke atasnya berkata, itu adalah hak Maria untuk menyamannya kerana mengatakan telah memfitnahnya. 

“Saya juga berhak untuk pertahankan diri. Sebagai organisasi bukan kerajaan, apabila saya melihat Bersih mengganggu orang untuk datang ke Kuala Lumpur dan berkumpul dalam jumlah yang ramai ini menunjukkan beliau sudah menyalahgunakan Akta Perhimpunan Aman. 

“Itu sebabnya saya juga berhak memberitahu rakyat untuk menentang Bersih. Tanggungjawab ini diberikan oleh ahli NGO kepada kami. 

“Saya juga mahu tanya kepada Maria bila nak adakan Bersih 5 jadi kita boleh berjumpa lagi,” katanya.  – 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen