SEORANG perunding teknologi maklumat (IT) didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu insiden pergaduhan kemalangan jalan raya di Lebuh raya KL-Seremban.
Video insiden itu yang kemudian tular menjadi perdebatan hangat di media sosial yang berunsurkan perkauman.
Yew Wei Liang, 41, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh yang berbaju hitam mengakui faham dengan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Majistret Nor Afidah Idris tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan tertuduh ditahan reman di penjara Sungai Buloh.
Peguam Varghese Onny berkata anak guamnya tidak patut dikenakan pertuduhan membunuh dan sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan cuai.
“Kami mencabar 302 itu kerana anak guam saya berkata dia dipujuk memberi pengakuan dan dipukul ketika dalam tahanan.
“Selepas insiden itu dia dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – 22 Ogos, 2019.
Komen