PENGERUSI Dong Zhong Tan Tai Kim hadir ke Bukit Aman hari ini untuk disiasat berhubung penentangan pertubuhan pendidikan Cina itu ke atas pembelajaran jawi di sekolah.
Tan yang hadir bersama setiausaha kehormatnya, Ng Chai Heng tiba seawal 9.30 pagi untuk disiasat berhubung isu itu.
Tan yang ditemui pemberita sewaktu tiba di Bukit Aman menegaskan Dong Zhong bukan pertubuhan rasis.
“Kami diminta hadir beri keterangan berhubung isu pembelajaran jawi dan kami ingin membantu polis sebagai rakyat Malaysia.
“Saya ingin tekankan kami bukan kumpulan rasis, pandangan kami sama dengan kaum lain,” katanya.
Kedua-duanya keluar dari Bukit Aman pada jam 12.45 petang selepas disoal siasat lebih tiga jam.
Ng memberitahu pemberita, kedua-duanya disiasat secara berasingan oleh pegawai daripada Bahagian Pendakwaan Bukit Aman.
“Proses rakam keterangan ini berjalan lancar tetapi kami tidak dimaklumkan sama ada perlu datang lagi untuk beri keterangan.
“Harap tidak akan dipanggil lagi,” katanya, menambah sebanyak 18 laporan polis dibuat ke atas pertubuhan itu. – 22 Ogos, 2019.
Komen