LANGSUNG: Pegawai SPRM ragui keterangan bekas pengarah SRC International


Bede Hong Timothy Achariam

Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain mengesahkan wang sebanyak RM396 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak adalah dari putera Arab Saudi, dan lebih RM200 juta lagi dipindahkan ke akaun Najib oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Ogos, 2019

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-56 hari ini, dengan saksi pendakwaan ke-57 dan terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain kembali memberi keterangan.

Sebelum prosiding bermula pagi ini, peguam berada di mahkamah lain untuk menghadiri pengurusan kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), di mana Najib berdepan sehingga 25 pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan dana awam sebanyak RM2.28 bilion.

Hakim bagi kes 1MDB, Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan yang pada awalnya ditetapkan pada Isnin, selepas mendengar hujah daripada pihak peguambela yang ia tidak dapat menyelesaikan soal balas Rosli sebelum esok.

Peguam diminta hadir di depan Sequerah esok petang untuk memuktamadkan tarikh permulaan perbicaraan 1MDB.

Pada Selasa, Rosli memberitahu mahkamah artikel oleh Sarawak Report dan bukannya Wall Street Journal yang mencetuskan penyiasatan terhadap SRC International.

Artikel berjudul “SENSATIONAL FINDINGS! – Prime Minister Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail MALAYSIA EXCLUSIVE!”, digunakan sebagai asas untuk membuka kertas siasatan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, Rosli menafikan berhubung dengan Editor Sarawak Report, Clare-Rewcastle Brown, sambil menambah tidak pernah mengarahkan kakitangan bawahannya menghubungi editor terbabit.

Rosli, yang menjadi pegawai penyiasat SRC International pada 6 Julai 2015, juga menafikan mengetaui sebarang kebocoran maklumat kepada media.

Katanya, kertas siasatan diserahkan kepada pengarah SPRM pada 31 Disember 2015. Kes itu dibuka semula tahun lepas selepas pilihan raya umum 9 Mei dan beberapa saksi dipanggil balik untuk mendapatkan kenyataan tambahan.

Ia termasuk Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu, yang bekerjasama dengan SPRM sekali lagi pada Mei tahun ini untuk mengenal pasti ahli kumpulan perbualan BlackBerry, termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Rosli juga mengulangi beliau menyoal Low di Abu Dhabi pada 27 November 2015. Low dan Nik Faisal masih bebas selepas berjanji untuk kembali ke Malaysia bagi membantu dalam perbicaraan SRC International.

Tuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Beliau didakwa dengan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pasukan peguam Najib diketuai oleh peguam Umno terkemuka Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar perbicaraan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.40pm: Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung pukul 9 pagi esok.

4.39pm:  Harvinderjit mohon hakim tangguhkan perbicaraan hari ini. Beliau beri jaminan kepada Nazlan untuk selesaikan pemeriksaan balas esok.

Hakim bersetuju dengan syarat pemeriksaan semula saksi perlu selesai selepas pemeriksaan balas siap esok.

3.37pm: Harvinderjit bertanya mengenai percanggahan antara kenyataan Suboh di Abu Dhabi pada 2015 dengan keterangan yang diberikan pada tahun lalu.

Harvinderjit mencadangkan bahawa Rosli ditekan untuk meminta Suboh menukar keterangan saksi.

Rosli: Langsung tidak. Ia tidak pernah berlaku.

3.35pm: Selepas Suboh kembali ke Malaysia, Rosli mengarahkan pegawainya mengambil keterangan Suboh sekali lagi, dan kali ini beliau tidak terlibat, mahkamah diberitahu.

Rosli berkata beliau mahu melihat sekiranya keterangan Suboh sepadan dengan apa yang dinyatakan di Abu Dhabi.

3.32pm: Rosli berkata keterangan bekas pengarah SRC International Suboh Mad Yassin diambil sebanyak enam kali, yang mana kali pertama adalah di Abu Dhabi. Menurutnya beliau berasa tidak selesa ambil keterangan Suboh dengan kehadiran peguam.

Katanya, beliau meragui keterangan yang diberikan oleh Suboh di Abu Dhabi. Keterangan Jho Low turut diambil di bilik berasingan dengan kehadiran peguam, kata Rosli.

3.02pm: Harvinderjit soal Rosli berhubung transaksi melibatkan Low dan Terence Geh. Rosli berkata beliau tidak pasti mengenai transaksi berkenaan.

2.42pm: Perbicaraan bersambung selepas makan tengah hari. Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balas.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini bagi menghadiri perbicaraan SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Ogos, 2019.

1pm: H: Saya cadangkan transaksi yang dikenakan Najib dibuat oleh Low?

R: Saya tidak setuju.

H: Najib ditipu berkenaan wang dalam akaun bank?

R: Saya tidak setuju.

H: Saya cadangkan Low menyebabkan wang SRC International dimasukkan ke Gandingan Mentari dan kemudiannya ke IPSB.

R: Saya tidak setuju.

H: Adakah Low yang mengendalikan RM42 juta dari Ung Su Lin ke akaun Najib?

R: Saya tidak setuju.

12.51pm: Rosli berkata telefon BlackBerry yang diambil daripada Joanna Yu berada dalam simpanannya.

12.36pm: Harvinderjit memaklumkan kepada Rosli bahawa SPRM dan pihak pendakwa memberikan kenyataan yang wang dalam akaun Najib adalah daripada SRC International, yang berpunca daripada pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Harvinderjit bertanya kepada Rosli sama ada beliau menyiasat RM170 juta yang masuk ke dalam pembangunan Putra Perdana pada Julai dan Ogos 2014. Rosli berkata yang menyiasat perkara itu.

Harvinderjit bertanya sama ada Rosli melihat sebarang dokumen yang menyatakan jumlah itu adalah pinjaman. Rosli berkata tidak.

12.05pm: Mereka masih mengesahkan bagaimana Rosli memperoleh dokumen dan sama ada ia salinan asal atau fotokopi.

11.45am: Mahkamah bersambung semula dengan Harvinderjit meneruskan soal balasnya.

11.19am: Mahkamah berhenti rehat.

10.30am: Rosli mengesahkan RM396 juta daripada putera Arab Saudi masuk ke akaun bekas perdana menteri Najib Razak. Beliau juga mengesahkan Kementerian Kewangan Arab Saudi memindahkan lebih RM200 juta ke dalam akaun Najib.

Rosli berkata beliau mengenali pegawai penyiasat dalam siasatan 1MDB hanya sebagai “Inspektor Aida”.

Harvinderjit bertanya jika beliau tahu nama penuhnya, dan Rosli menjawab: “Saya tidak tahu, beliau bukan isteri saya.”

10.00am: Selepas pengurusan kes bagi perbicaraan 1Malaysia Development Bhd diputuskan, pendengaran SRC International Sdn Bhd bermula dengan saksi terakhir pendakwa, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rosli Husain, memberi keterangan.

Peguam bela Harvinderjit Singh memulakan soal balasnya. Beliau mengesahkan bila Rosli menemuramah saksi, dan berapa lama. – 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen