KABINET akan membuat keputusan berkenaan cara untuk mengurangkan kadar bayaran tol bagi 29 lebuh raya di seluruh negara pada satu mesyuarat minggu depan, lapor The Straits Times.
Memetik sumber, akhbar harian Singapura itu berkata langkah berkenaan diambil susulan perbalahan dalam kalangan parti Pakatan Harapan berkenaan cara terbaik mengurangkan kadar tol dan kos sara hidup seperti dijanjikan dalam manifesto mereka pada PRU14.
Pada Jun, Kementerian Kewangan mengeluarkan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART dengan nilai RM6.2 bilion.
Harga itu menjadi punca perbalahan antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kera Raya, kata Straits Times.
Cadangan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyebabkan rasa tidak senang dengan Kementerian Kerja Raya kerana ia mengusahakan kertas cadangan berasingan dan membantah potongan bajet untuk projek lain bagi membiayai pengambilalihan empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd.
Mesyuarat pada Rabu depan akan mengkaji penyelesaian dicadangkan bagi mengurangkan kadar tol terutama berkenaan jenis pembiayaan yang akan digunakan dan kos akhir ditanggung kerajaan, kata Straits Times.
“Ada menteri mempersoalkan kenapa Lim enggan belanja untuk program lain tetapi minat hendak bayar RM6.2 bilion kepada Gamuda.
“Ia secara tidak sengaja sama jumlahnya dengan cadangan pakej menyelamatkan Felda yang mengambil masa lama untuk dimuktamadkan,” kata akhbar itu memetik sumber yang enggan dinamakan. – 22 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen