PASUKAN peguam yang mewakili Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International perlu ke mahkamah lain terlebih dulu pagi ini untuk menghadiri pengurusan kes bicara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di mana bekas perdana menteri itu berdepan 25 pertuduhan jenayah membabitkan RM2.28 bilion wang awam.
Peguam dijangka memohon melewatkan tarikh mula perbicaraan yang ditetapkan Isnin depan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Peguam dijangka berhujah mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti ribuan halaman dokumen bukti termasuk kenyataan saksi yang diserahkan kepada mereka Jumaat lalu dan pada Isnin.
Sequerah sebelum ini memberitahu peguam pada Isnin bahawa pihak pendakwa raya akan memulakan kes mereka dengan membawa saksi rasmi yang akan hanya memberi kenyataan lisan.
Pertuduhan terhadap Najib dalam kes SRC berkaitan pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International pada 2011 pada 2012, di mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Najib, 66, didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Prosiding dijangka bermula lewat hari ini selepas Sequerah membuat keputusan bila perbicaraan 1MDB akan bermula.
Pada perbicaraan SCR yang masuk hari ke-56 hari ini, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain dijangka menyambung keterangan.
Pada Selasa, Rosli memberitahu mahkamah satu artikel dikeluarkan oleh Sarawak Report, bukan Wall Street Journal yang mencetuskan siasatan dimulakan terhadap SRC International.
Artikel itu bertajuk “SENSATIONAL FINDINGS! – Prime Minister Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail MALAYSIA EXCLUSIVE!”, digunakan sebagai asas untuk membuka kertas siasatan pada hari sama ia disiarkan.
Rosli bagaimanapun menafikan ada berhubung dengan pengarang Sarawak Report Clare-Rewcastle Brown, menambah beliau tidak pernah mengarahkan pegawai bawahannya menghubungi Rewcastle Brown. – 22 Ogos, 2019.
Komen