.jpg)
HASRAT kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru dilihat sebagai peluang terbaik untuk para pemilik tanah mengubah dan memajukan tanah mereka.
Kesediaan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad menganjurkan sesi “town hall” bagi menerangkan kepada para pemilik juga adalah satu usaha yang wajar dipuji.
Namun, beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu untuk menjadi pertimbangan kerajaan sebelum sebarang tawaran boleh dikemukakan pada sesi town hall nanti.
Kedudukan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah arus permodenan bandar Kuala Lumpur selayaknya mendapat sejumlah harga yang munasabah.
Mengandaikan harga purata dengan para pemilik boleh membeli lebih 20 unit rumah mampu milik bermaksud harga di bawah paras RM1,000 sekaki persegi bakal ditawarkan.
Harga ini dilihat kurang sesuai dengan kedudukan semasa tanah Kampung Baru yang dilihat sangat berpotensi untuk dimajukan dengan projek berimpak tinggi.
Tambahan lagi kedudukannya yang berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan di sekelilingnya terdapat pelbagai kemajuan.
Seharusnya pertimbangan teliti dibuat kerana para pemilik tanah bakal menyerahkan tanah mereka untuk tujuan pembangunan dan pulangan setimpal wajar diperhalusi.
Cadangan projek berbentuk strata untuk menggantikan kedudukan tanah lot sedia ada juga wajar dibahas panjang kerana rata-rata pemilik sekarang berada di atas sebidang tanah yang agak luas.
Saranan menggantikan tanah lot dengan nilaian beberapa unit strata juga perlu dilihat secara terperinci kerana pemilik bakal kehilangan sebidang tanah lot jika konsep ini diterima pakai.
Setidak-tidaknya kerajaan perlu datang dengan tawaran yang menguntungkan kedua-dua pihak pihak khususnya dari sudut harga dan manfaat semasa.
Saya optimis hasrat pembangunan itu boleh dicapai jika tawaran berupa konsep “menang-menang” menjadi teras kepada usaha kerajaan.
Perlu diingat bahawa Kampung Baru adalah satu-satunya penempatan orang Melayu terbesar yang masih wujud di Kuala Lumpur hasil daripada warisan generasi terdahulu.
Sebarang kaedah pengambil alihan tanah secara perundangan wajarlah dielakkan sebaliknya persetujuan secara konsensus dan negoasi haruslah menjadi objektif demi mencapai matlamat pembangunan.
Justeru, mempertahankan hak orang Melayu dengan memberikan manfaat pembangunan yang menguntungkan perlulah menjadi keutamaan kerajaan. – 22 Ogos, 2019.
* Syed Badli Shah Syed Osman adalah ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dan naib ketua Pemuda PKR.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen