AS, Turki hadkan pengeluaran visa berikutan masalah diplomatik


AMERIKA Syarikat dan Turki semalam mengehadkan pengeluaran visa di negara masing-masing berikutan masalah diplomatik yang tercetus selepas penahanan seorang warga Turki dalam misi Amerika di Istanbul.

Kedutaan Amerika di Ankara berkata, “kejadian baru-baru ini” memaksa kerajaan AS menilai semula “komitmen” Turki terhadap keamanan perkhidmatan misi AS dan kakitangan di negara ini.

Untuk meminimumkan jumlah pelawat ketika penilaian dijalankan, “berkuat kuasa serta merta, kami menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di semua kemudahan diplomatik AS di Turki,” katanya.

Visa bukan imigran dikeluarkan terhadap mereka yang ke negara AS untuk melancong, rawatan perubatan, perniagaan, bekerja sementara atau belajar.

Khidmat visa imigran hanya dikeluarkan kepada mereka yang ingin menetap di AS.

Turki membalas tindakan itu dengan menggantung “semua khidmat visa” kepada warga AS di negara itu, dan mengatakan beberapa langkah turut diambil kepada visa yang dikeluarkan secara dalam talian dan di sempadan.

Dalam percubaannya untuk menyindir pengumuman AS itu, kedutaan Turki di Washington mengeluarkan dua kenyataan yang hampir sama dengan kenyataan kedutaan AS di Ankara.

‘Sangat terganggu’

Kenyataan itu menyebut kepentingan komitmen AS terhadap keselamatan kemudahan diplomatik Turki dan kakitangannya memerlukan sekatan, tetapi ia hanya termaktub kepada warga Amerika dan termasuk pengeluaran visa di sempadan dan dalam talian sekaligus menunjukkan ia adalah satu langkah punitif berbanding langkah keselamatan.

Kenyataan pertama daripada kedutaan Turki berkata sekatan dibuat terhadap “visa pasport”, manakala kenyataan kedua menggantikan perkataan itu dengan “pelekat visa”.

Bagaimanapun ianya tidak jelas sekiranya ia membawa maksud visa yang sudah dicop dalam pasport tidak akan diterima.

Sebaliknya kenyataan “kejadian baru-baru ini”, kenyataan kedutaan AS tidak menyebut secara jelas penangkapan oleh pihak berkuasa Turki terhadap kakitangan Turki yang bekerja di konsulat AS di Istanbul.

Kakitangan terbabit dikenakan perintah reman oleh mahkamah Istanbul pada Rabu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pendakwah yang berpangkalan di AS Fethullah Gulen.

Kakitangan berkenaan juga dituduh mengintip dan cuba menjatuhkan kerajaan Turki.

Kedutaan AS pada Khamis berkata ia “sangat terganggu” dengan penahanan dan penolakan tuduhan terhadap pekerja berkenaan yang disifatkan sebagai “tanpa merit sepenuhnya”.

Ia turut mengecam kebocoran maklumat kepada pihak media, dan berkata ia datang daripada sumber kerajaan Turki dan ia “dilihat seperti menghukum pekerja terbabit di media berbanding di mahkamah”.

Namun, jurucakap Edogan, Ibrahim Kalin mempertahankan penahanan itu dan berkata “mesti terdapat bukti yang serius” dan merujuk kepada panggilan telefon yang dibuat dari konsulat Istanbul kepada suspek utama pada malam cubaan kudeta itu. – AFP, 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen