SEHINGGA hari ini, kira-kira 3,500 anggota polis sudah menjalani saringan air kencing dalam Op Blue Devil yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membersihkan pasukan dari gejala dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Mohd Khalil Kader Mohd berkata daripada jumlah itu, 103 daripada mereka didapati positif dadah.
Operasi khas itu dilancarkan pada 13 Ogos lalu dengan bantuan bahagian narkotik negeri selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan ancaman najis dadah di negara ini sudah mencapai tahap berbahaya sehingga ada anggota polis sendiri yang menagih syabu.
Mengulas lanjut Mohd Khalil berkata pihaknya sudah imbas dahulu anggota polia yang disyaki terbabit dengan dadah.
“Malah seminggu sebelum operasi dilancarkan, semua anggota dan pegawai sudah dimaklumkan namun dalam masa sembilan hari, kita dapat kesan 103 yang masih degil dan tidak dapat ikut hukum akal yang waras.
“Prosedurnya adalah sama iaitu setelah kita kenal pasti, mereka ini diarahkan menjalani ujian air kencing dan didapati ada antaranya positif. Namun untuk dihadapkan ke mahkamah, air kencing itu akan dihantar ke jabatan kimia,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, daripada jumlah itu majoriti didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.
Mohd Khalil berkata, anggota polis yang didapati positif dadah ini akan dikenakan tindakan undang-undang sama seperti orang awam iaitu mereka akan menerusi proses siasatan polis seterusnya dihadapkan ke mahkamah.
Ketika ditanya tempoh masa untuk operasi berkenaan Mohd Khalil berkata, operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan dan mereka hanya akan berhenti selepas berpuas hati atau mendapati pasukan itu benar-benar sifar dadah.
“Operasi pencegahan penyalahgunaan dadah itu juga merupakan operasi serampang dua mata dengan menyasarkan serbuan ke atas makmal-makmal memproses dadah, pengedar serta penagih dadah.
“Di mana sebelum ini kami sudah menyerbu 296 lokasi panas di seluruh negara. Ini juga bagi ‘mengacau’ penawaran dadah.
“Kami juga sedang berusaha untuk memutuskan bekalan dadah di negara ini, disebabkan itu kami memerlukan sokongan padu daripada semua pegawai dan anggota yang bebas dadah,” katanya.
Sebelum ini Abdul Hamid berkata, beliau turut terkejut dengan jumlah tersebut yang disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.
“Kali ini saya mengambil pendekatan secara menyeluruh yang mana tindakan turut diambil ke atas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melancarkan Op Blue Devil yang mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menjalani ujian air kencing dan ada yang didapati positif pelbagai jenis dadah terutamanya syabu.
“Jika warga PDRM yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini,” katanya kepada Bernama News Channel.
Abdul Hamid berkata, angka berkenaan yang amat membimbangkan menunjukkan bahawa tahap penyalahgunaan dadah di negara ini sudah berada pada tahap kritikal.
“Bayangkan keadaan yang pernah berlaku di Amerika Latin dahulu (masalah dadah dalam kalangan anggota penguat kuasa), maka usaha pencegahan penyalahgunaan yang menyeluruh mesti dilaksanakan,” katanya. – 21 Ogos, 2019.
Komen