Hari Sukan Negara ditukar nama Malaysia Sports Challenge, lapor media


Malaysia Sports Challenge (MySC) akan diraikan pada sepanjang Oktober ini. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2019.

PUTRAJAYA menjenamakan semula Hari Sukan Negara menjadi Malaysia Sports Challenge (MySC) dan memanjangkan sambutannya daripada sehari kepada sebulan, lapor Utusan Online.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata MySC akan diraikan pada sepanjang Oktober ini.

“Ini hanya penjenamaan semula dan tiada kaitan dengan tujuan lain kerana penganjurnya adalah sama iaitu Kementerian Belia dan Sukan.

“Cuma bezanya ialah jika Hari Sukan Negara sebelum ini disambut sehari sahaja tetapi MySC disambut selama sebulan iaitu sepanjang Oktober ini dengan lebih banyak dan pelbagai aktiviti telah diatur,” katanya seperti dipetik Utusan Online.

Beliau mengumumkan penjenamaan semula tersebut pada sesi taklimat kepada penaja berpotensi untuk acara itu di Putrajaya hari ini. 

Sim mempertahankan penukaran nama itu dan tidak melihatnya tindakan merendahkan martabat penggunaan Bahasa Melayu, lapor Bernama.

Beliau optimis penggunaan bahasa Inggeris pada program tersebut tidak akan menjadi tembok penghalang kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakannya.

“Saya rasa tiada masalah kerana intipatinya masih lagi Malaysia, penganjurnya Malaysia (kerajaan) dan pesertanya juga orang Malaysia. 

“Tidak kira apa jenama atau bahasanya, saya rasa orang Malaysia tidak janggal untuk berhadapan dengan penggunaan bahasa itu,” jelasnya.

Penambahbaikan Hari Sukan Negara pernah dibayangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seawal Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

Menurut Sim, MySC juga mensasarkan penglibatan lebih luas sehingga 5 juta rakyat berbanding 2 juta dalam Hari Sukan Negara.

Acara kemuncak MySC 2019 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Bandar Sukan Kuala Lumpur pada 12 Oktober.

Hari Sukan Negara mula diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 2015 dan disambut pada minggu kedua Oktober.

Penambahbaikan Hari Sukan Negara pernah dibayangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seawal Mac lalu.

Jelas Sim, pelaksanaan MySC sehingga sebulan dilaksanakan hasil syor kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Syor itu bertujuan menyemarakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat, lapor Bernama. – 21 Ogos, 2019.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen