Apakah Melayu perlu revolusi?


BERMULA 1971, lahir sebuah buku yang amat penting didalam naratif sebuah parti bernama Umno. Ketika itu, perdana menteri Malaysia adalah Tun Abdul Razak bapa kepada perdana menteri Malaysia yang terkini Najib Razak.

Di dalam buku tersebut terdapat 13 penulis yang dianggap inteligensia Melayu ketika itu. Buku tersebut diberi nama “Revolusi Mental” yang dikatakan ditujukan kepada Pemuda Umno ketika itu.

Buku yang disunting oleh Senu Abdul Rahman itu bertujuan mengubah dan merasionalkan pemikiran feudalisme dan kebendaan seperti yang disebut oleh Max Weber dalam “The Protestant Ethic and the Spirit of Capatilism”.

Menurut Weber, jiwa raga kapitalisme yang tulen dengan mengecam ciri-ciri sikap mereka yang malas dan membuang masa.

Bagi Weber, roh kapitalis sejati ialah mereka yang berusaha mengejar keuntungan secara berterusan, sentiasa berjimat cermat, menepati masa, tekun dan adil dalam perniagaan.

Kapitalis dalam terjemahan dan tafsiran Weber juga mengaitkan mereka yang amanah, bijaksana dan tidak boleh menyimpang harus bersikap rasional sebagai mereka yang beriman dan beramal dengan kapitalisme yang asli.

Itulah yang cuba dibawa oleh Senu melalui kompilasi yang dibukukan ketika beliau menjawat posisi setiusaha agung Umno ketika itu. Buku tersebut menjadi antara kitab yang perlu dimiliki dan dibaca oleh kaum Melayu ketika itu.

Kontradiksi tujuan asal Senu terhadap “Revolusi Mental”, salah tafsir terhadap cadangan antara penulis didalam buku tersebut membina prinsip pengumpulan harta perseorangan dengan sebanyak-banyaknya.

Salah tafsir penulis-penulis “Revolusi Mental”  inilah akhirnya menemui rakyat Malaysia hari ini. Salah agak mereka kini memakan pewaris mereka sendiri.

Cara mereka mengkritik rakyat supaya bangkit dalam masa sama mereka yang bertindak dengan anjuran prinsip mereka atas nama kemajuan orang Melayu bukanlah sesuatu yang rasional pada keputusannya.

Malah ia dilihat sebagai gagasan pemikiran elitas yang memerintah dan punya kuasa politik. Kononnya mahu membela paras ekonomi Melayu marhain, tetapi yang terjaga sebenarnya adalah Melayu pemerintah. Meraka cakap lain, tetapi yang dibikin lain.

Modus operandinya hari ini juga tetap sama. Kerajaan yang didominasi Umno, sering kali melaungkan kami adalah kerajaan untuk rakyat, namun mereka semakin memboroi hasil ratah mahsul negara yang sebenarnya milik rakyat.

Cabaran yang dilontar oleh menteri-menteri haprak sengaja dibuat kepada rakyat. Konon mengambil berat dilema yang dilalui rakyat terutamanya bangsa Melayu.

Melayu yang mereka sebut adalah Melayu “mereka”. Konotasi yang sama tetapi definasi berbeda buat mereka.

Itulah penularan pemikiran semenjak sekian lama di dalam Umno. Mereka membina jurang dan membiarkan itu berlaku untuk keberlangsungan nyawa politik mereka.

Mereka lupa akan keperluan untuk menegakkan keadilan sosial, pembahagian harta dan peluang secara sama rata dan saksama. Bukan mereka menjadi zombi yang rakus meratah “otak” manusia.

Massa Melayu perlu bangkit daripada belaian pemimpin Melayu yang rosak.

Kita bangga jadi Melayu bukan kerana majoriti dalam negara yang kita cinta. Tapi kerana kita menjadi Melayu yang berdiri dan wujud tanpa perlu menindas dan memandang rendah kepada kaum lain.

Kita semua bangsa Malaysia. – 9 Oktober, 2017.

* Muhammad Syafiq Azmi adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen