Filipina jadi 'sarang pengganas', kata perancang serangan NY


Tentera Filipina giat melakukan operasi dengan kumpulan yang terlibat dengan Islamic State di sana. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2017.

SEORANG suspek warga Filipina yang merancang menyerang New York City dengan bangga mengakui negaranya menjadi “tempat pembiakan pengganas”, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Sabtu.

Russell Salic dan dua yang lain didakwa terlibat dalam rancangan serangan atas nama kumpulan militan Islamic State (IS) semasa Ramadan pada tahun 2016.

Kenyataan Jabatan Kehakiman berkata, Salic, 37, memindahkan wang kepada suspek lain untuk operasi tersebut, dengan mengatakan ia selamat melakukannya dari Filipina tanpa menarik sebarang perhatian.

Beberapa lokasi termasuk stesen kereta api bawah tanah New York, Times Square dan beberapa lokasi konsert telah dikenal pasti sebagai sasaran dalam plot yang digagalkan oleh ejen FBI yang menyamar, umum pihak berkuasa AS pada Jumaat.

Ejen itu menyamar menjadi penyokong IS dan berkomunikasi dengan Salic serta dua rakannya Abdulrahman El Bahnasawy, warga Kanada berusia 19 tahun yang membeli bahan membuat bom dan Talha Haroon, warga Amerika berusia 19 tahun yang tinggal di Pakistan.

El Bahnasawy memberitahu agen FBI itu, Salic adalah penyokong IS yang dipercayai membiayai membantu kumpulan itu, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.

Kenyataan tersebut memetik mesej yang dihantar oleh Salic kepada orang lain yang terlibat dalam plot yang beliau sifatkan undang-undang keganasan di Filipina sebagai “tidak ketat” berbanding negara seperti Australia dan United Kingdom.

“Pengganas dari seluruh dunia biasanya datang ke sini sebagai tempat pembiakan bagi pengganas ... hahahaha ... Tetapi jangan risau di Filipina. Mereka tidak peduli dengan IS ... Hanya di barat,” katanya menurut kenyataan itu.

Salic ditangkap di Filipina pada April 2017, kata kenyataan itu.

Ia menambah El Bahnasawy, mengaku bersalah atas tuduhan “keganasan”, ditangkap di New Jersey pada 2016 dan Haroon ditahan di Pakistan pada September 2016.

Ekstradisi Haroon dan Salic ke AS masih belum selesai, menurut pendakwa raya. Pihak Filipina tidak dapat dihubungi untuk mendapat sebarang maklum balas. – AFP, 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen