'No Time To Die' tajuk filem terbaru James Bond


Daniel Craig akan melakonkan watak ejen 007, James Bond kali kelima dan terakhir dalam filem terbaru saga kisah perisik itu yang akan ditayangkan pada April. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2019.

FILEM James Bond seterusnya dan yang terakhir menampilkan Daniel Craig sebagai ejen 007 itu diberi judul “No Time To Die” dan akan ditayangkan pada April, umum francais filem itu semalam.

Sambungan ke-25 saga kisah perisik British itu kali ini akan menyaksikan Bond keluar daripada persaraan oleh rakannya dan ejen CIA Felix Leiter dalam satu misi bahaya untuk menyelamatkan seorang saintis yang diculik.

Penggambaran sudah pun berlangsung tetapi tertangguh beberapa kali kerana pelbagai masalah.

Satu letupan berlaku di Pinewood Studios di Britain pada Jun merosakkan set filem, menyebabkan kerosakan dan seorang cedera ringan.

Akhbar The Sun melaporkan tiga letupan berlaku di set itu selepas berlaku kesilapan ketika aksi lasak, menyebabkan bumbung dan beberapa panel dinding rosak.

Craig – yang akan memegang peranan hero itu untuk kali kelima – sebelum itu menjalani pembedahan kecil di pergelangan kaki akibat kecederaan di set di Jamaica.

Pemenang anugerah Oscar, Rami Malek memainkan watak penjahat dalam filem yang dinanti-nantikan itu, yang bakal menyaksikan Craig beraksi sebagai 007 selepas lapan tahun.

“No Time To Die” akan turut menyaksikan kembalinya Ralph Fiennes – sebagai bos Bond – dan juga aktres Perancis Lea Seydoux.

Filem itu dijadualkan masuk panggung di Britain pada 3 April dan lima hari kemudian ditayangkan di Amerika Syarikat. – AFP, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen