KECEWA dengan jawapan diberikan oleh pihak polis, M Indira Gandhi akan memulakan satu siri jelajah di Brickfields Kuala Lumpur Sabtu ini bagi menjelaskan usahanya mencari bekas suami dan anak perempuannya yang hilang.
Minggu berikutnya beliau akan mengadakan sesi bertemu penduduk di Kluang Johor dalam usahanya untuk bertemu semula dengan anak perempuannya Prasana Diksa yang diculik bekas suaminya 11 tahun lalu.
Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy memberitahu The Malaysian Insight, siri jelajah itu dianjurkan bersama oleh badan bukan kerajaan dan akan diadakan di dewan pelbagai guna.
Beliau berkata selepas Kluang, jelajah akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan namun tarikh belum ditetapkan.
Siri jelajah itu adalah untuk Indira dan Ingat meningkatkan kesedaran tentang pencarian bekas guru tadika itu terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah yang dipercayai bersama anaknya yang kini berusia 11 tahun.
Riduan menculik Prasana ketika masih bayi selepas secara sepihak dia menukar agama tiga anak lelakinya kepada Islam.
Dia kini diperintahkan oleh mahkamah untuk memulangkan semula Prasana.
Kecewa dengan kekurangan maklumat daripada pihak berkuasa untuk mencari Prasana, Indira memutuskan untuk mendapatkan bantuan orang ramai dengan menjelaskan kesnya dengan harapan mereka dapat membantu mencari anak perempuannya itu.

Pasukan petugas polis khas telah dibentuk lebih empat bulan lalu untuk mencari Riduan dan Prasana tetapi tidak ada sebarang maklumat baharu diterima.
Arun berkata peguam terkenal Ambiga Sreenevasan telah mengambil kes ini dan membantu Indira dalam hal-hal perundangan.
Ambiga mengesahkan maklumat berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
Arun berkata kes itu kini tidak lagi mengenai penukaran agama kanak-kanak kerana Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu memutuskan ia menyalahi undang-undang, tetapi mencari orang yang hilang.
“Kami mahu mewujudkan kesedaran tentang kes ini dan pada masa sama merayu orang ramai memberi sebarang maklumat,” katanya.
Beliau berkata polis perlu mendedahkan sekiranya mereka telah mengklasifikasikan semula kes ini sebagai laporan orang hilang.
“Apa yang kita tahu ialah mahkamah telah mengeluarkan perintah mandamus (untuk polis menangkap Riduan) tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.
Polis menyatakan mereka tidak mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan Riduan walaupun pasukan Ingat percaya lelaki itu telah merentasi sempadan dan tinggal di selatan Thailand.
Ingat berkata, mereka mendapat maklumat daripada orang awam.
Bulan lalu Indira telah memfailkan laporan polis yang mendakwa pengikut penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mungkin membantu Riduan menyembunyikan Prasana.
Beliau turut menamakan kumpulan pemisah Thailand dan PAS di Kelantan serta Terengganu membantu Riduan menyembunyikan anaknya.
PAS menafikan mempunyai kaitan dengan Riduan atau membantu menyembunyikan Prasana.
Selepas laporan polisnya, Indira dipanggil untuk diberi kenyataan kerana polis ingin mengetahui sumber maklumat selepas dia mendakwa pengikut Dr Zakir terlibat.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, beliau meletakkan kes ini sebagai kes penting supaya polis dapat memenuhi perintah mahkamah dan menyatukan semula Indira dan anak perempuannya.
“Saya gembira KPN baharu ambil kepentingan peribadi dalam kes ini. Beliau lebih berminat berbanding KPN sebelum ini.
“Saya gembira kerana polis akhirnya melihat kes ini. Sebelum ini tak ada siapa mengambil berat,” katanya. – 21, Ogos, 2019.
Komen