Zakir Naik tak dibenar beri ceramah di semua medium, kata KPN


Penceramah bebas Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

PENCERAMAH bebas Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk di media sosial, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

“Satu arahan telah dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan baru-baru ini yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.

“Apabila keluarnya arahan ini, semua Ketua Polis Negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan, bagi menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka, supaya menolaknya,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.

“Kami akan dapatkan fakta-fakta yang sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

“Itu adalah arahan yang memang adil untuk mententeramkan keadaan, ia hanya bersifat sementara dan jika keadaan masih lagi berserabut, arahan tersebut akan kekal.

“Ia jelas bahawa kita tidak mahu forum-forum ceramah agama ini diselitkan dengan isu berkaitan dengan politik. Amat tidak sesuai sekali dalam ceramah-ceramah agama yang membabitkan isu-isu politik, baik dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Abdul Hamid berkata dengan arahan yang dikeluarkan itu, polis berharap tidak timbul isu bantahan sehingga keputusan muktamad diperolehi.

“Berhubung kes ini, saya tidak mahu mengatakan pihak sana salah pihak sini betul (menuding jari) sebab beberapa tindakan diambil oleh kedua-dua pihak…oleh Zakir dan juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kandungan ceramah beliau,” katanya. – Bernama, 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen