Persetujuan MA63 tidak penuhi kehendak rakyat Sabah


PENGUMUMAN kerajaan PH dan Warisan mengenai persetujuan isu-isu rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menepati kehendak rakyat Sabah.

Pengumuman ini amat memeranjatkan. Realitinya apa yang diumumkan jauh tersasar dari apa yang diharapkan oleh rakyat Sabah.

Dari tujuh isu yang telah dipersetujui, isu tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan sebenarnya telah diluluskan pada tahun 2017 semasa kerajaan BN.

Isu kedua iaitu pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sabah masih belum diputuskan walaupun ianya dikatakan isu yang telah selesai.

Isu ketiga mengenai penubuhan Jawatankuasa baru untuk membincangkan mekanisme perlaksanaan projek kerajaan persekutuan di Sabah hanyalah satu cara untuk mencari alasan dan bukan satu penyelesaian.

Isu keempat mengenai kebenaran kepada Sabah untuk mengujudkan perundangan subsidiari mengenai buruh bukan isu yang menjadi keutamaan nombor satu dalam kehidupan harian rakyat Sabah.

Malah rakyat akan bertanya jika perundangan subsidiari itu boleh mengatasi perundangan utama mengenai buruh di peringkat pusat yang terikat kepada perundangan antarabangsa (ILO).

Isu kelima yang kononya telah diselesaikan ialah mengenai kesihatan di Sabah. Apa yang telah diluluskan ialah penubuhan satu lagi Jawantankuasa baru membincangkan perkara berkaitan kesihatan di Sabah.

Maknanya ini bukan penyelesaian tetapi hanyalah tindakan mengujudkan jawatan kuasa bersama yang sebenarnya boleh dijalankan oleh Menteri Sabah yang menjaga kesihatan dan Menteri Kesihatan Pusat. Apa bidang kuasa Menteri Kesihatan Sabah? Kenapa tidak jelaskan?

Isu keenam mengenai pentadbiran pelancongan di Sipadan dan Ligitan. Keputusan ini tidak ada kesan besar kerana kerajaan negeri Sabah memang mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang sedia ada terhadap apa yang berlaku di Sipadan dan Ligitan.

Isu ketujuh bersifat akademik iaitu menggugurkan isu pertanian dan perhutanan dari perbincangan kerana isu-isu tersebut memang dalam bidang kuasa Sabah.

Dari tujuh perkara yang telah dipersetujui, tidak ada satu pun yang menyentuh janji utama kerajaan Warisan iaitu soal royalti minyak 20%. Kerajaan Warisan gagal dalam isu ini. Itulah hakikatnya. Rakyat Sabah telah tertipu.

Memandangkan kerajaan Warisan dan kerajaan pusat selalu mendabik dada tentang kerajaan terbuka, maka Umno Sabah mahu semua perincian diumumkan secara terbuka. Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui apa yang sedang dituntut dan dibincang oleh kerajaan Sabah. Ini penting kerana semua yang dibincangkan itu akan memberi kesan besar kepada rakyat Sabah di masa hadapan.

Umno Sabah dengan ini mendesak supaya perjalanan proses perbincangan MA63 di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat didedahkan kepada umum secara berterusan. Rakyat Sabah berhak mengetahui apa yang dituntut oleh kerajaan Sabah. Rakyat Sabah mahukan perincian dan detail tuntutan itu. Janganlah hanya bila keputusan telah dibuat, barulah diumumkan kepada rakyat.

Umno Sabah juga mahu satu Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri ditubuhkan dengan segera yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang.

Kerajaan Sabah wajib memberi penjelasan dan keterangan kepada Jawatankuasa Khas ini supaya isu-isu yang dibincangkan tidak lari dari manifesto kerajaan Warisan dan PH. Dapatan Jawatankuasa Khas ini perlu diumumkan kepada rakyat Sabah juga.

Tujuh isu yang diumumkan selesai oleh kerajaan Warisan dan PH amat mengecewakan rakyat Sabah. Harapan rakyat yang menggunung kepada kerajaan Warisan dan PH sebelum ini  telah berkecai kerana kegagalan manifesto lemak manis dan bulan dan bintang kerajaan Warisan dan PH yang tidak ditunaikan. Sekian. – 20 Ogos, 2019.

 

*Abdul Rahman Dahlan merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan pemangku ketua Umno Bahagian Tuaran.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen